Wednesday, August 28, 2013

Sushi berteknologi tinggi



PERANTI penghidang sendo-kun ini boleh terbuka sendiri apabila pelanggan mahu mengambil sushi.


Kepakaran seorang chef sushi hasil kemahiran yang diasah berdekad lamanya menjadikan golongan itu terkenal sebagai pewaris tradisi di Negara Matahari Terbit tersebut.
Bagaimanapun, mesin berteknologi tinggi yang menggunakan kepersisan robotik kini semakin banyak mengambil alih kemasyhuran chef-chef tersebut.
Di negara itu, ribuan restoran sushi beroperasi bukan lagi dengan hasil kerja tangan chef, sebaliknya diambil alih oleh mesin tali sawat yang menggerakkan piring sushi berisi nasi dengan hirisan ikan mentah di hadapan pelanggan.
Teknologi turut digunakan di sudut dapur restoran. Robot-robot yang mempunyai mikrocip diletakkan di lokasi tertentu bagi menghasilkan bebola nasi sebelum diletak di atas piring.
Kemudian pes pedas wasabi disapukan di atas nasi tersebut, diikuti oleh hirisan ikan mentah.
Sushi yang telah siap akan dipantau bagi memastikan set hidangan itu menepati standard yang ditetapkan.
Kaedah ini jauh berbeza dengan restoran-restoran tradisional yang memperlihat kemahiran chef sushi dengan pisaunya.
"Walaupun sushi makanan tradisi, penghasilannya semakin dipengaruhi oleh teknologi tinggi. Kamu tidak boleh lagi membuka restoran sushi dengan modal yang sedikit kerana ia memerlukan pangkalan data dan pengurusan saintifik," kata Pengurus Perhubungan Awam Kura Corp. (Kura), Akihiro Tsuji.

MESIN membuat bebola nasi ini digunakan di setiap restoran sushi milik Kura Corp.


Teknologi
Menurut perangkaan industri, pendapatan industri sushi dijangka mencecah 5 bilion yen (RM167 juta) pada tahun ini.
Dalam usaha untuk terus mendahului pasaran, Kura telah mencipta sebuah peranti penghidang dipanggil sendo-kun yang diterjemah sebagai 'tuan segar'.
Ia merupakan piring dengan penutup lutsinar yang terbuka secara automatik apabila pelanggan memilih hidangan.
Selain mengekalkan kebersihan dan kelembapan sushi, piring yang mengandungi sekeping mikrocip itu juga berperanan memaklumkan pihak pengurusan restoran jenis sajian yang masih ada dan tempoh ia berada di atas tali sawat.
Peralatan
Sejak diwujudkan setengah abad lalu, restoran sushi telah mengalami evolus tersendiri. Daripada hanya menjual sushi tradisonal, ia berkembang menjadi sebuah muzium miniatur yang menawarkan pelbagai jenis hidangan termasuk tempura goreng mentega, aneka mi dan ais krim.
Hidangan tersebut juga dijual pada harga amat rendah, kebiasaannya bermula dari 100 yen (RM3.30) untuk dua ketul sushi.
Kini, semakin banyak restoran sushi yang dilengkapi peralatan berteknologi tinggi bagi melancarkan operasi termasuk penggunaan skrin sesentuh untuk membuat tempahan hidangan.
Pensyarah universiti, Ryozo Aida, 68, berkata, dia melawat restoran Kura dengan isterinya kerana harga makanan di situ amat berpatutan.
"Ia barangkali kedengaran pelik, khususnya apabila berada di sebuah restoran sushi, tetapi saya suka tempura," kata Ryozo sambil jari-jarinya menyentuh panel skrin sesentuh.
Sementara itu, di bahagian dapur kelihatan skrin-skrin yang memaparkan bilangan pengunjung dewasa dan kanak-kanak serta tempoh mereka berada di ruang makan dalam restoran berkenaan.
"Sungguhpun kesemua 199 tempat duduk di sini dipenuhi pelanggan, bilangan set hidangan sushi yang diperlukan berbeza kerana ia bergantung pada tempoh mereka berada di dalam restoran," ujar kata Akihiro.
Kakitangan dapur dapat menyediakan jumlah sajian yang diperlukan dengan merujuk teknologi yang menggabungkan data masa nyata dan maklumat hidangan yang telah dimakan sebelum itu.
Melengkapkan usaha setempat, rangkaian restoran Kura juga mempunyai sistem bantuan jarak jauh yang menghubungkan lebih 300 cawangannya di seluruh Jepun.
SEORANG chef menyediakan set hidangan sushi.


Kamera
Kamera di dalam restoran menyampaikan imej kepada para penyelia restoran yang sentiasa bergerak dari satu cawangan ke cawangan lain bersama sebuah komputer riba.
Imej itu membolehkan mereka mengetahui stok makanan yang disajikan mencukupi.
Kamera itu bagaimanapun tidak merakam wajah pelanggan atas sebab privasi.
Di sebuah rangkaian restoran milik Genki Sushi di wilayah paling terkenal di Tokyo, Shibuya, konsep tali sawat tunggal yang biasa digunakan diperbaharui.
Kesemua 90 tempat duduk menghadap kaunter kini mempunyai tiga laluan dek tali sawat berkelajuan tinggi yang membawa sushi terus kepada pelanggan yang membuat pesanan menggunakan skrin sesentuh aneka bahasa.
Ketepatan dan kelajuan merupakan fokus restoran berkenaan dengan sasaran penghantaran makanan dilakusan tidak sampai seminit.
"Kami mencari cara untuk menghantar pesanan lebih pantas dan sistem ini merupakan jawapannya. Pembaharuan ini juga dapat mengurangkan pembaziran makanan," kata Pengurus Daerah GenkiSushi, Akira Koyanagi.
Menurut firma penyelidikan Kumpulan Fuji-Keizai, penggunaan teknologi di dalam restoran itu membabitkan kos yang tinggi.
Namun demikian, ia menyumbang kepada peningkatan jualan sebanyak 20 peratus sejak lima tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: