Thursday, August 29, 2013

Pelawak wanita tidak boleh over




BERTUBUH kecil molek dan memiliki raut wajah yang comel, pelakon dan pelawak Noorkhiriah kini sudah mencecah usia 36 tahun.
Bakat lakonan pelakon berasal dari Raub, Pahang ini terutamanya dalam komedi tidak perlu dipertikaikan lagi. Terutama selepas dia memenangi sebanyak tiga kali anugerah artis komedi wanita popular.
Sebaliknya, pelakon Almy Nadia masih lagi hijau dalam dunia komedi. Kehadirannya dalam dunia komedi bermula selepas membintangi siri komedi Edisi Khas.
Namun, ramai yang meramal bekas kekasih kepada Fizz Fairuz itu mampu menjadi pelawak terkenal suatu hari nanti selepas kemunculannya dalam program tersebut berjaya mencuri tumpuan ramai.
Namun, apakah persamaan antara mereka? Almy dan Noorkhiriah akan bersaing bersama-sama dalam program realiti Super Spontan yang bersiaran langsung menerusi Astro Warna di saluran 132 dalam pakej Mustika setiap Jumaat bermula 30 Ogos ini, pukul 10 malam.
Almy anggap Noorkhiriah mentor
Almy tidak pernah terfikir mempunyai sisi lawak dalam dirinya namun, selepas terbabit dalam Edisi Khas, ramai peminat yang memuji lakonan komedinya.
Akui pelakon berusia 27 tahun itu, sejak itu dia tidak putus-putus menerima tawaran membawakan watak komedi.
Bagaimanapun, akui Almy, bukan mudah untuk menjadi seorang pelawak yang mampu membuatkan penonton ketawa.
"Saya tidak pernah rasa diri lawak selama ini. Sebabnya saya sedar bukan mudah untuk buat orang ketawa.
Namun, Alhamdulillah ramai yang memuji lakonan komedi saya sebelum ini," ujar Almy ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan peserta baharu Super Spontan untuk musim yang kedua di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.
Kata Almy, peralihan watak daripada air mata kepada komedi bukan disebabkan kebanjiran artis baharu masa kini.
Sebaliknya, tutur pelakon yang berasal dari Ipoh, Perak itu lagi, mungkin ini peluang terbaik untuk dirinya meneroka watak komedi memandangkan pelawak wanita di Malaysia tidak ramai.
NOORKHIRIAH memang diketahui umum sebagai pelakon wanita yang cukup berkaliber.


"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pelawak. Mana yang datang (tawaran) saya ambil.
Mungkin kini tawaran komedi banyak yang datang. Saya terima. Lagipun pelawak wanita tidak ramai di Malaysia.
Paling menonjol ialah Didie Alias, Noorkhiriah dan Sharifah Shahira. Mungkin ini peluang baik untuk saya sertai pula," ujarnya yang mengakui sebagai pelawak wanita, mereka juga harus mengawal lawak agar tidak nampak berlebihan.
Gementar dan takut bersaing dengan Noorkhiriah dalam Super Spontan untuk musim kedua, luah Almy, dia mencabar diri menyertai program itu dan akan berusaha melakukan yang terbaik dalam program tersebut.
"Sebenarnya saya gementar sangat hendak sertai program ini. Sebabnya, saya perlu melakukan lawak secara spontan.
"Bila dapat tahu pula kena bersaing dengan seorang lagi peserta wanita iaitu Noorkhiriah saya jadi lebih takut sebab dia otai dalam komedi. Namun, saya tetap cabar diri menyertai program ini," ungkap Almy yang menganggap Noorkhiriah sebagai mentor.
Selain Almy dan Noorkhiriah, Super Spontan musim kedua juga disertai oleh beberapa pelawak terkenal seperti Ahmad Nabil, Johan, Along Raja Lawak, Yus Jambu, Shuib dan Jep Sepahtu dan Munir.
Mengulas mengenai persediaannya dalam program tesebut, kata Almy, ibunya banyak memberi nasihat supaya dia melakukan yang terbaik dalam program itu.
"Ibu adalah pengkritik nombor satu saya. Dia suruh saya buat homework untuk lakukan lawak spontan yang baik," jelasnya yang gembira jika ditakdirkan menerima anugerah wanita komedi popular satu hari nanti.
Noorkhiriah jaga batas
Bagi Noorkhiriah pula, walaupun sudah memenangi sebanyak tiga kali anugerah artis komedi wanita popular, akuinya, dia masih belum sempurna sebagai seorang pelawak.
ALMY NADIA memberitahu dia mahu meneroka semua bidang lakonan termasuk membawa watak komedi.


Ujarnya, dia masih lintang-pukang melakukan lawak lebih-lebih lagi lawak secara spontan.
"Bila ditawarkan untuk menyertai Super Spontan memang saya sangat teruja. Tetapi, bila datang ke sidang media ini saya jadi takut tengok barisan pelawak yang ada untuk Super Spontan musim kedua ini.
"Tiba-tiba saya rasa tidak patut berada di situ," luahnya merendah diri.
Bicara Noorkhiriah lanjut, katanya, kemenangannya sebagai artis komedi wanita bukan berdasarkan komedinya secara spontan di atas pentas.
Sebaliknya, komedinya hanya diikhtiraf melalui drama atau filem komedi lakonannya.
Begitupun, sambung Noorkhiriah, selepas menyertai bootcamp bersama peserta Super Spontan yang lain di Hotel Flamingo, Ampang, Selangor, baru-baru ini, dirinya mula disuntik semangat dan rasa yakin sebanyak 50 peratus.
"Peserta lain yang menyertai Super Spontan banyak pengalaman melawak di atas pentas. Memang kerja mereka melawak.
"Saya pula tiada pengalaman melawak di atas pentas. Bagi saya mereka bukan pencabar utama, sebaliknya diri saya sendiri.
"Mungkin ini (penyertaan dalam program Super Spontan) boleh dijadikan sebagai platform untuk saya buktikan diri melawak di atas pentas," ujarnya yang akan buat sebaik mungkin dalam program tersebut.
Bagaimanapun, kata Noorkhiriah, sebagai pelawak wanita yang bertudung, dia juga harus menjaga batas supaya tidak nampak over nanti.
Tuturnya: "Kadang-kadang kalau kita terlebih melawak juga orang tidak suka.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana takut ketika di atas pentas nanti apabila menerima sorakan daripada peminat kita akan terlepas laku."
Jelas ibu kepada dua orang anak lelaki itu, apa yang boleh dilakukannya di atas pentas nanti bukan reaksi fizikal yang berlebih-lebihan tetapi mungkin lontaran dialog yang mampu mengundang ketawa penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: