Wednesday, August 28, 2013

Majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan meriah



ERAT silaturahim. Pengarang Kosmo! (dua dari kanan), Baharom Mahusin, Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar (tengah) dan Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkifli Hamzah bersama Datuk Hattan dan isterinya, Datin Arianie.



BIARPUN Syawal semakin meninggalkan kita beberapa hari lagi, namun masih ramai lagi individu mahupun organisasi yang tidak putus-putus mengadakan rumah terbuka.
Menghidangkan juadah raya yang enak seperti ketupat, rendang, sate, mi dan nasi impit, majlis rumah terbuka juga dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia.
Majlis rumah terbuka turut dimanfaatkan oleh Kumpulan Utusan. Jumaat lalu bersamaan 23 Ogos, Kumpulan Utusan turut mengadakan rumah terbuka di bangunan baharunya bertempat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Menariknya, rumah terbuka Kumpulan Utusan itu bukan sahaja dihadiri hampir 3,000 tetamu yang terdiri daripada Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bersama isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Hampir 30 artis yang terdiri daripada penyanyi dan pelakon hadir pada majlis yang bermula pada pukul 3 petang itu. Antaranya, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Jiwa, Datuk Yusof Haslam, Datuk Hattan dan isteri, penyanyi Indonesia Astrid serta pasangan popular Rozita Che Wan dan Zain Saidin.
PASANGAN yang sedang menghitung hari bergelar suami dan isteri, Rozita Che Wan dan Zain.


Menurut penyanyi Astrid atau nama sebenarnya Astrid Sartiasari, dia sangat berbesar hati dapat menghadirkan diri buat pertama kali ke majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan.
"Saya gembira kerana dijemput hadir ke majlis ini. Kalau di Indonesia ia disebut halal bi halal kalau di sini (Malaysia), rumah terbuka ya? Makanan-makanan yang disediakan juga sangat enak," ujarnya kepada Kosmo!.
Astrid yang kembali langsing selepas melahirkan anak sulungnya, Alec Djuara, 8 bulan, turut menyampaikan lagu popularnya Tentang Rasa pada majlis tersebut.
Sementara itu, pelakon jelita Rozita Che Wan turut melahirkan rasa gembira kerana dapat menghadirkan diri ke majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan.
Majlis yang diacarakan oleh pelawak Didie Alias dan juga penyampai radio Nasional FM, Muaz itu turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis seperti Pretty Ugly, Zali Redang, Nomad, Saleem dan Astrid.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: