• Editor Media Hiburan tamatkan zaman bujang Meen Tahrin bersama isteri tercinta, Yusrinawati.
EDITOR majalah Media Hiburan terbitan Kumpulan Media Karangkraf, Meen Tahrin atau nama sebenarnya, Abdul Razak Tahrin, 37, selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihannya, Yusrinawati Hamzah, 37, dengan sekali lafaz sekitar jam 5.30 petang, Jumaat lalu.
Pasangan ini diijabkabulkan oleh Penolong Pendaftar Nikah dan Pegawai Khidmat Nasihat, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Shah Alam, Rematola Abdul Sathor.

Majlis resepsi berlangsung semalam, di rumah pengantin perempuan di Kampung Seri Aman Berkat, Puchong.

Ketika majlis pernikahan kelmarin, pihak perempuan menerima sembilan dulang hantaran berbalas sebelas kepada pihak lelaki dengan mas kahwin RM300 dan wang hantaran RM10,000 berserta seutas rantai tangan emas.

Manakala majlis resepsi sebelah pihak lelaki diadakan di Restoran Warisan, Kuala Lumpur, hari ini.