Wednesday, August 28, 2013

Askar dituduh bunuh kerani

CHE ROSLI ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat semalam untuk didakwa membunuh Mohd. Yusrizal.


TUMPAT – Seorang anggota tentera berpangkat Sarjan yang ditahan berhubung satu kes letupan bom yang meragut nyawa kerani sekolah di Taman Sri Periok di sini pada 11 Ogos lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan oleh Che Rosli Che Daud, 29, yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Mengikut pertuduhan, Che Rosli didakwa membunuh Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, di Perumahan JPN Kok Seraya di sini antara pukul 10 pagi hingga 11 pagi, 11 Ogos lalu.
Che Rosli berhadapan dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 1 Oktober ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes tersebut kepada pihak pembelaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: