Thursday, July 25, 2013

Nyanyian bukan main-main




KETIKA ini penyanyi Ainan Tasneem Ridzuan boleh berbangga apabila single pertamanya, Aku Suka Dia sudah ditonton lebih sejuta kali sejak dimuat naik ke laman YouTube tahun lalu.
Tidak lekang dengan sebuah gitar yang sentiasa di sisinya, Ainan juga merupakan antara penyanyi yang cukup berbakat besar kerana mampu menghasilkan lagu sendiri.
Ketika ditemui semasa majlis pelancaran album sulungnya, Ainan Tasneem - Aku Suka Dia baru-baru ini, dia sendiri tidak menyangka mampu menempa nama sebagai penyanyi dalam sekelip mata.
"Kalau melihat kepada karier dalam bidang seni ini, saya anggap bidang nyanyian ini tidak lebih daripada sekadar mahu mengisi masa lapang selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu.
"Ketika itu saya sekadar suka-suka merakamkan lagu yang dinyanyikan sendiri dan saya muat naik ke laman Facebook. Tujuan saya berbuat demikian cuma mahu mendapat komen daripada rakan-rakan," ujar penyanyi berusia 21 tahun itu.
Menurut Ainan, dia langsung tidak menyangka apabila seorang rakannya telah memuat naik lagu nyanyiannya, Aku Suka Dia ke laman YouTube sehingga mendapat sambutan yang baik.
Ujarnya, selepas lagu berkenaan diterima baik oleh pendengar, terdapat beberapa buah syarikat yang berjumpa dengan keluarganya dan menawarkannya sebagai artis rakaman.
"Secara jujurnya, saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang penyanyi, malah saya telah menolak banyak tawaran kerana menganggap nyanyian sebagai hobi sahaja.
"Namun begitu, setelah dipujuk oleh ahli keluarga dan rakan-rakan, barulah saya bersetuju menjadi artis rakaman dengan syarikat MVM Production," dedahnya.
Mengakui nyanyian bukanlah keutamaan dirinya sekarang, Ainan sebaliknya mendedahkan dia sebenarnya ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara dan bergelar pensyarah suatu hari nanti.
Jelasnya, sejak dibangku sekolah lagi dia sudah bercita-cita untuk menjadi pensyarah. Pada masa ini, dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada pengajiannya di Universiti Malaysia Perlis (UniMap).
CUTI semester dari bulan Jun hingga September ini dimanfaatkan oleh Ainan untuk memberi fokus kepada kegiatan nyanyiannya.


Lali kontroversi
"Ketika ini saya memang memberi tumpuan yang lebih kepada pelajaran sahaja kerana mahu mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan.
"Saya diberitahu sekiranya keputusan saya cemerlang, pihak UniMap akan menghantar saya menyambung pengajian di luar negara.
"Sudah tentu ia merupakan satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Buat masa ini pelajaran lebih diutamakan berbanding nyanyian," ujar penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioproses itu.
Pembabitannya dalam industri hiburan tempatan dianggap baru berusia setahun jagung, namun Ainan tidak dapat lari daripada dilanda gosip hangat.
Menurut Ainan, pada mulanya dia berasa rimas apabila ramai orang yang terlalu mengambil tahu dan memperkatakan kisah peribadinya.
"Sebenarnya saya kurang selesa kalau ada yang bercerita tentang peribadi saya, apatah lagi kalau cerita berkenaan tidak benar dan sekadar khabar angin.
"Misalnya, cerita yang mengatakan saya selalu berkepit dengan teman lelaki di universiti. Sebenarnya, saya tidak tahu apa tujuan orang yang menyebarkan cerita itu," luahnya.
Tambahnya, dia sekali lagi berdepan dengan kontroversi apabila dikatakan enggan menyanyikan lagu 150 Juta dalam acara persembahan yang dijayakannya kerana kesal dituduh mencuri lagu tersebut daripada Fynn Jamal.
Bagaimanapun, Ainan menjelaskan perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia merupakan salah faham dan dia tetap akan menyanyikan lagu berkenaan sekiranya mendapat permintaan daripada pihak penganjur.
"Sebagai seorang penyanyi baharu sudah tentu saya akan rasa terbeban dengan kontroversi yang melanda, tetapi lama-kelamaan saya semakin lali dengan segala kontroversi dan tidak kisah lagi apa yang orang hendak kata.
"Mungkin inilah harga yang terpaksa saya bayar apabila memilih untuk menjadi penyanyi.
"Namun begitu, saya sangat beruntung kerana mendapat sokongan yang kuat daripada ahli keluarga dan teman rapat yang lebih mengenali diri saya," jelasnya.
BAPA Ainan yakin anak gadisnya ini mampu menghadapi segala dugaan yang mendatang.


Cuti semester
Biarpun Ainan menyatakan mahu memberi fokus terhadap pengajiannya di UniMap, tetapi penyanyi itu menjelaskan dia masih lagi aktif dan bersedia menerima tawaran membuat persembahan.
Menurutnya, sepanjang tiga bulan cuti semester ini jadual nyanyiannya cukup padat, termasuk memenuhi undangan nyanyian sepanjang bulan puasa.
"Ketika ini, saya sedang bercuti dari bulan Jun hingga September. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai tawaran diterima. Saya juga menjayakan sesi promosi yang diaturkan untuk album saya.
"Selain itu, saya telah memberitahu kepada syarikat rakaman yang saya cuma boleh menerima tawaran menyanyi ketika cuti semester dan mereka bersetuju memberi kelonggaran kepada saya," ujarnya.
Bercerita mengenai album Ainan Tasneem - Aku Suka Dia pula, Ainan menjelaskan, terdapat lima buah lagu yang terkandung dalam album tersebut iaitu Aku Suka Dia, 150 Juta, Kamu Saja, Tak Mungkin Aku dan Aku Keliru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: