Saujana
Album terbaru Saujana berjudul Aku Cinta ALLAH. 
Saujana
Tanpa Adi, Saujana bersama Hafiz.
KUMPULAN Nasyid yang terkenal dengan lagu Keluarga Bahagia, Saujana kini muncul kembali dengan album terbaru berjudul Aku Cinta ALLAH.

Album kelapan tersebut dikatakan istimewa buat mereka kerana ia merupakan hasil titik peluh mereka sendiri.

“Album ini sangat istimewa kerana ini adalah hasil titik peluh kami di bawah syarikat kami sendiri, Anasaujana Sdn Bhd.

“Lama juga kami tidak mengeluarkan album dan alhamdulillah, rezeki tahun ini, kami dapat terbitkan album kelapan ini,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada sesi fotografi hari raya di Butik Omar Ali.

Menurut Suffian Amrin atau Pian album tersebut memakan masa hampir dua tahun untuk disiapkan.

“Ini kali pertama kami buat berdasarkan idea dan konsep sendiri. Kami tak ada ambil lagu dari luar.

“Rancangnya sudah lama cuma prosesnya yang agak lambat. Boleh kata ia makan masa hampir dua tahun,” katanya.

Menurut Saujana, salah seorang anggota Saujana, Adi terpaksa meninggalkan Malaysia untuk tempoh tiga tahun dan Saujana perlu mencari ahli baru.

“Adi terpaksa berhijrah ke United Kingdom, jadi kami perlu mencari pengganti dan akhirnya kami menemui Hafiz.

“Adi ke UK hanya untuk tempoh tiga tahun saja, dia akan kembali bersama Saujana. Mungkin ketika itu kami akan berlima...tengok keadaan,” kata Azalinor Abdul Rahman atau Aza.

Sementara ahli baru Saujana, Mohd Hafiz Abd Rahman yang memang sudah aktif sejak dulu dalam bidang nasyid akui tidak percaya ketika diajak menyertai Saujana.

“Sebelum ini, saya memang aktif dalam nasyid di sekolah dan pertandingan-pertandingan luar.

"Namun apabila dilamar oleh Saujana, saya rasa mereka bergurau,” katanya yang baru menamatkan pengajian di Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMU).

Menyentuh tentang pemilihan Hafiz, Pian berkata, “kami mencari kelainan dalam Saujana. Sebelum ini, kami mempunyai Syahir dalam Saujana untuk setahun.

"Hafiz ada sedikit persamaan dengan Syahir," tambahnya.

Tambahnya, “kami mencari seseorang yang berkebolehan dalam taranum , qasidah dan sebagainya. Saya nampak bakat itu ada pada Hafiz.”

Kata Aza, “saya rasa lebih sesuai kami ambil Hafiz berbanding orang yang sudah mempunyai komitmen terlalu banyak.”

Meskipun pemergian Adi ke UK membuat mereka kelam kabut, namun mereka menyifatkan ia sebagai hikmah.

“Ada hikmahnya pemergian Adi ke UK. Perancangan untuk album ini sudah lama tapi kerana berita Adi ke UK itu membuatkan kami cepat-cepat menyiapkan album ini.

“Maksudnya, jika Adi tak pergi ke UK, mungkin album ini tak akan siap-siap,” kata Wan Najran Wan Mohd Noh atau Najran.

Sementara itu, Saujana turut merancang untuk membuat muzik video bagi album Aku Cinta ALLAH di Indonesia.

Pada masa sama, mereka juga merancang untuk mengadakan karnival yang mempunyai pengisian kerohanian hujung tahun ini.

“Untuk Ramadan ini, perancangannya mungkin kami akan membuat muzik video di Indonesia dan menjalankan promosi di sana.

“Kami juga merancang untuk mengadakan karnival di institusi-institusi pengajian tinggi, masjid dan sekolah. Kalau ada yang berminat, boleh sertai kami.

"Kami berharap sangat, jika ada syarikat-syarikat korporat yang menyertai kami,” kata Aza.