Sunday, June 23, 2013

Silat batin lindungi diri


NAZARI menunjukkan salah satu jurus dalam silat kebatinan yang digunakan untuk tujuan perubatan.


DALAM suasana kelam pada malam itu yang hanya diterangi cahaya bulan mengambang, sekumpulan pengamal seni silat kebatinan Gerak Halilintar giat menjalani latihan.
Dengusan kasar yang kedengaran dalam kalangan pengamal silat yang berpakaian hitam semasa melakukan latihan itu bukanlah perkara asing buat mereka.
Para pengamal silat itu mengamalkan zikir yang dipercayai boleh mengeluarkan tenaga dalaman untuk dijadikan ‘pagar’ bagi melindungi tubuh daripada sebarang ancaman musuh.
“Silat Gerak Halilintar itu merupakan gabungan 18 ilmu tauliah dari 18 perguruan berbeza yang dipelajari sebelum ini,” ujar pengasas silat kebatinan tersebut, Mohmad Nazari Mat Saad.
Lelaki tersebut banyak mendapat tunjuk ajar daripada seorang guru dari Terengganu yang dikenali sebagai Guru Murad.
Beliau turut mengupas tentang perbezaan silat fizikal dengan silat kebatinan.
“Silat fizikal menggunakan tenaga luaran untuk menepis, mempertahankan serta melindungi diri daripada ancaman musuh.
“Sebaliknya bagi silat kebatinan, tenaga yang digunakan ialah tenaga dalaman yang dikeluarkan dengan sekali hembusan nafas sahaja.
“Namun, ia sudah mencukupi untuk menghumban si penyerang jauh dari mangsa yang diserang.
“Ia juga dapat melindungi si pengamal daripada mendapat kecelakaan yang tidak disangka-sangka.
“Misalnya, jika berlaku kemalangan ngeri yang pada kebiasaanya si mangsa akan luka parah atau meninggal dunia.
“Bagaimanapun, menerusi amalan kebatinan itu, si mangsa mungkin tidak akan mengalami kecederaan langsung.
“Dengan erti kata mudah, dengan izin Allah, si pengamal mungkin dapat mengelak daripada sebarang musibah, terutamanya dalam keadaan kecemasan,” dakwa Mohmad Nazari.
Ketika diajukan soalan mengenai amalan tertentu yang boleh melindungi pengamal, lelaki tersebut memberitahu surah Al-Fatihah perlu dibaca sebanyak tiga kali selain berdoa bagi meminta keselamatan diri dan harta benda daripada Allah.
“Niatkanlah perkara yang kita mahukan seperti keselamatan diri, perjalanan ke tempat kerja, keselamatan rumah, harta benda dan lain-lain lagi.
“Apa yang penting ialah yakin kepada Allah dan jangan sesekali tinggalkan amalan zikrullah,”kata Mohmad Nazari.

SELEPAS ilmu silat kebatinan dipindahkan, ia dapat menjadikan tubuh penulis (kanan) kebal buat sementara waktu.


Pantang
Bagaimanapun, cara terbaik untuk mengusasai silat kebatinan, katanya, adalah dengan mempelajari dahulu silat fizikal.
“Silat fizikal menuntut pengamalnya supaya rajin berlatih untuk memastikan buah pukulan dan pergerakan mereka lebih padu serta mantap.
“Bagi pengamal silat kebatinan pula, mereka perlu beramal dan tidak boleh melanggar syariat Islam.
“Ilmu batin ialah ilmu hati yang membawa pengamalnya mendekati Allah.
“Ia juga menuntut pengamalnya untuk membersihkan diri, menyucikan roh dan akhlak, menguasai nafsu, menjauhi maksiat serta memerangi perkara yang boleh merosakkan hati.
“Tiada pantang larang dalam mendalami ilmu itu. Apa yang dilarang oleh agama itulah yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal silat kebatinan,” kata Mohmad Nazari ketika ditemui di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Ramai orang yang memperkatakan adalah salah untuk mempelajari silat kebatinan atau ilmu tenaga dalaman lebih-lebih lagi jika seseorang itu boleh menguasai pelbagai teknik silat dalam masa yang singkat.
“Saya tidak menafikan ada pengamal silat kebatinan yang menyalahgunakan amalan itu sehingga dia boleh mengancam dan menggugat keselamatan orang lain.

Roh perisik
“Namun, tidak semua ilmu silat kebatinan itu salah atau sesat.
“Bukan semuanya menggunakan khidmat khadam atau jin.
“Sebaliknya, kebanyakan perguruan silat mewajibkan pelajarnya untuk bersolat dan sentiasa berzikir untuk mengabdikan diri kepada Allah selain menjalankan tanggungjawab kepada keluarga, bangsa serta negara.
“Sebagai orang Islam, jika tidak mempelajari silat pun, kita masih wajib menunaikan solat dan sentiasa meminta pertolongan daripada Allah.
“Namun, ada juga segelintir pelajar yang belajar separuh jalan dengan mencari cara mudah untuk menguasai ilmu persilatan kebatinan. Merekalah yang memburukkan persilatan itu.
“Sebagai ahli bela diri kebatinan, mereka perlu menjaga tingkah laku dan menghindari perkara yang dilarang syariat,” tambahnya.
Menurutnya, menghindari perkara yang dilarang syariat Islam amat penting kerana melakukan dosa kecil dan dosa besar sama ada sengaja ataupun kebetulan boleh merosakkan imej perguruan yang telah diikuti mereka.
Mohmad Nazari berkata, silat kebatinan juga boleh digunakan untuk merisik.
Dengan menggunakan roh sebagai ejen risikan, para pengamal boleh mengetahui dan mendapatkan maklumat, rahsia ataupun strategi terutamanya daripada musuh-musuh Islam.
“Bunyinya mungkin pelik apabila saya katakan roh boleh menjadi perisik, namun itulah hakikat rahsia ketuhanan yang ada pada umat Islam tetapi tidak digunakan sepenuhnya,” katanya.
“Bagi yang dikurniakan Allah dengan kelebihan itu, mereka boleh berada di mana-mana tempat dalam sekelip mata.
“Sebelum tidur, niatkan dalam hati untuk pergi ke mana dan mohonlah kepada Allah supaya menghantar roh mereka ke mana tempat sahaja tanpa menggunakan sebarang kenderaan.
“Kelajuan dan kepantasan roh kita cukup hebat malah ia merupakan senjata teknologi yang Allah perturunkan kepada umat Islam,” ceritanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: