Monday, June 24, 2013

Perniagaan terjejas akibat jerebu



ORANG ramai memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar membeli barangan keperluan di pasar tani di Muar semalam.



MUAR - Keadaan jerebu yang melanda seluruh daerah Muar dan Ledang di Johor bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian penduduknya, malah golongan peniaga makanan dan perhotelan di daerah itu turut merasai impaknya.
Daerah Muar yang sememangnya terkenal dengan pelbagai keenakan makanan seperti mi rebus, mi bandung, asam pedas, nasi beriani gam, sate dan nasi ayam sering menjadi destinasi pilihan pelancong untuk singgah makan di daerah tersebut.
Namun, sejak cuaca jerebu bertambah buruk Jumaat lepas, rata-rata peniaga gerai makanan mengeluh kerana bilangan pelanggan yang menjamu selera di warung atau restoran mereka berkurangan secara drastik.
"Kami kehilangan separuh daripada pelanggan yang biasanya berkunjung ke restoran kami pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu," kata Abu Bakar Hasan, seorang pengusaha mi bandung terkenal di Jalan Abdullah ketika ditemui di sini semalam.
Menurut beliau, biasanya jumlah pelanggan yang datang menjamu selera di restorannya mula bertambah setiap kali hujung minggu termasuk dari Singapura dan Kuala Lumpur.
Bagi Hishamudin Jais, seorang peniaga nasi ayam di bangunan Mara di Jalan Maharani berkata, kebanyakan pelanggannya lebih gemar membungkus makanan daripada makan di gerainya.
Menurut beliau, cuaca buruk seumpama itu merupakan yang pertama dihadapinya sejak memulakan perniagaan di situ lebih 10 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: