Tuesday, June 25, 2013

Jubah pelihara aurat

PERGELANGAN tangan bergetah memudahkan pemakai ketika ingin mengerjakan solat.
BUSANA labuh dengan padanan tudung rona senada cukup manis buat wanita Muslimah.


BAHAGIAN lengan dengan cengkaman getah fleksibel pada jubah Cinta Hawa Couture itu memberi nilai ekstra kepada si pemakainya. Bukan sekadar cantik pada badan, malah ia praktikal untuk tujuan solat.
Kebanyakan pergelangan tangan jubah perlu dilipat ketika mengambil wuduk, namun menerusi Cinta Hawa Couture anda hanya perlu menyinsing lengan dengan mudah dan pantas.
Pergelangan tangan yang direka khusus itu juga tidak memerlukan kaum Hawa memakai sarung tangan aurat bagi menutup lengan daripada terdedah.
Pengutamaan aurat dalam setiap item Cinta Hawa Couture juga dibuktikan menerusi pemilihan fabrik. Likra berkualiti tinggi yang tidak melekap menjadi pilihan pereka jenama tersebut, Nur Has Linas Bakar.
“Aurat perlu diutamakan dan fesyen jatuh nombor dua. Bagaimanapun, kedua-dua elemen itu perlu seiring agar rekaan yang menawan dapat dihasilkan.
“Cinta Hawa Couture direka dengan potongan kembang payung yang sering dilihat pada jubah Arab. Mainan rona-rona ceria juga menambah ciri moden kepada jubah ini.
“Sambil menutup aurat, anda dapat bergaya dengan jubah trend baharu menerusi cantuman motif-motif terkini seperti paisley, puak, polka dot dan flora,” ujar Nur Has Linas yang berkolaborasi bersama abangnya, Along Bakar.
Material pelbagai seperti likra bercetak, likra kapas bercetak dan likra polos sesuai untuk semua peringkat umur. Ia boleh diperoleh pada harga bermula RM120 sehingga RM200.
Tambah Nur Has Linas: “Rangkaian tudung kami juga unik. Ia direka bersama bahagian dagu bagi memudahkan wanita bersolat tanpa telekung. Selesai solat, bahagian dagu itu boleh dimasukkan ke dalam menjadi tudung biasa.
PERGELANGAN tangan bergetah memudahkan pemakai ketika ingin mengerjakan solat.


“Ia juga boleh digayakan sebagai hoodie tanpa menjejaskan kelabuhan tudung. Bagi memberi keselesaan berpanjangan kepada si pemakai, kami gunakan fabrik likra kapas untuk semua jenis tudung.”
Koleksi tudung jenama tersebut dijual pada harga antara RM55 sehingga RM70.
Bagi pembelian terus, anda boleh mengunjungi gerai jualan Cinta Hawa Couture di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada setiap hari Jumaat hingga Ahad bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Variasi jubah dan tudung eksklusif itu juga akan dijual di pekarangan Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, Selangor bersempena Sambutan Hari Mesra Masjid pada 28 dan 29 Jun ini.
Pembeli juga boleh memperoleh rekaan Cinta Hawa Couture setiap hari dalam bulan Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (10 pagi hingga 10 malam) dan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor ( 5 petang hingga 10 malam).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: