Sunday, June 23, 2013

Hiburan alternatif IM Asyraf


TIDAK mahu dikenali sebagai penyanyi. Namun Asyraf berasa cukup bahagia jika dia dikenali sebagai penceramah yang boleh menyanyi.


MENDAPAT gelaran Imam Muda hasil kejayaan yang disandang dalam program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan sudah terlalu intim dengan dunia hiburan.
Dilabel sebagai lelaki muda terhormat dengan gelaran Imam Muda (IM) Asyraf, sudah tiga tahun dia mendapat layanan selebriti daripada pelbagai pihak.
Justeru, apabila IM Asyraf menghasilkan album nasyid, dia benar-benar berstatus selebriti. Khidmatnya berkembang, selain menjadi imam dan penceramah bebas, IM Asyraf kini bergelar penyanyi.
"Secara tak langsung kelahiran kami (bekas peserta Imam Muda) memang dari awal lagi diperlihatkan seperti selebriti. Jadi, ia bukan satu perkara yang luar biasa bagi saya. Saya sendiri sudah tidak janggal dengan dunia selebriti, orang sekeliling juga sudah faham.
"Apabila saya menyanyi, itu juga bukan benda baharu sebab sebelum ini ramai juga ustaz lain yang menyanyi. Ruang yang ada itu saya ambil tapi asalnya, saya sendiri tidak mahu menjadi penyanyi, lama saya berfikir sebelum setuju dengan pembikinan album itu.
"Saya bimbang tentang tanggapan. Kalau boleh, saya tidak mahu digelar penyanyi, cukuplah jika saya hanya dikenali sebagai Imam Muda atau penceramah yang boleh menyanyi," katanya usai majlis pelancaran album sulung, Rahmatan Lil 'Alamin pada Selasa lalu.
Memikirkan penghasilan album satu perkara baharu buat dirinya, Asyraf juga tidak sekadar mengikut arus. Jauh sekali hendak mengikuti jejak Hafiz Hamidun yang berjaya memecahkan jualan album sehingga ratusan ribu keping menerusi album Zikir Terapi.
"Saya fikir, alang-alang buat album, buatlah betul-betul. Hafiz seorang yang berani dengan konsep album zikirnya, saya pula tak mahu sebuah album yang terlalu tradisional atau terlalu pop.
"Tapi unsur pop itu ada menerusi sentuhan gitar AG Coco dalam lagu Rahmatan Lil 'Alamin," ujar Asyraf yang turut menyanyikan semula lagu yang pernah dinyanyikan oleh Hadad Alwi berjudul Ummi.
Lagu Ummi ditujukan khas buat isterinya, Nurhusna Yusoff yang juga ibu kepada anak lelakinya, Muhammad Aisy Raihan, 19 bulan.
Seorang penceramah bebas, tinggi ilmu agama dan dalam masa yang sama memiliki produk berupa sebuah album nyanyian, Asyraf yang dikenali sebagai Ustaz Twitter itu sedar bidang yang diceburinya kini jauh berbeza dengan dunia ceramahnya.
"Untuk berceramah dengan baik, penceramah itu harus ada rujukan dan selalu mencari ilmu. Seorang penyanyi hebat harus memiliki vokal yang hebat dari situ dia boleh menyanyikan apa sahaja lagu.
"Vokal saya pula janganlah dibandingkan dengan Munif Ahmad daripada kumpulan Hijaz atau arwah Asri Ibrahim. Saya cuma mahu berkongsi aura positif yang dimuatkan dalam album itu.
"Supaya fokus saya tidak lari daripada kerja saya ketika ini, saya juga tidak menganggap penghasilan album itu sebagai salah satu cara berdakwah sebaliknya ia sebagai satu hiburan alternatif kepada penggemar lagu-lagu ketuhanan atau muzik Islamik," katanya yang tidak malu untuk mempromosi album nyanyiannya di laman sosial mahupun ketika mengendalikan ceramah bebas.
Diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd. dengan kerjasama Neo Record dan Warner Music, album yang mengandungi sembilan buah lagu termasuklah Rahmatan Lil 'Alamin, Ummi, Habibatan Kalimatan, Innalillah, Yahdi Man Yasha dan Sohib Al-Ghuraba itu akan berada di pasaran bermula pada 24 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: