Sharnaaz Ahamad dan Daphne Iking
Sharnaaz Ahamad dan Daphne Iking
SEBUT sahaja nama Sharnaaz Ahamad, pasti ramai memikirkan soal peribadinya yang sebelum ini menjadi perhatian ramai. Namun, di sebalik kisah-kisah kontroversi itu, aktor ini berjaya membuktikan kemunculannya dalam industri bukanlah semata-mata untuk mencari publisiti murahan, tetapi kerana bakat lakonannya.

Kehebatannya dalam menghayati setiap watak yang dilakonkan menerusi drama mahupun filem sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Ini terbukti apabila setiap lakonannya mampu memberi kesan dan impak yang kuat terhadap penontonnya.

Berlainan pula dengan selebriti cantik, Daphne Iking yang sebelum ini terkenal dengan bidang pengacaraan menyifatkan karier lakonan bukanlah keutamaan buat dirinya.

Walaupun begitu, ia bukanlah penghalang buat dirinya untuk mencuba bidang lakonan sebagai cabaran buat dirinya untuk menimba pengalaman dalam lakonan.

Buat kali pertamanya, kedua-dua pelakon ini digandingkan bersama dalam menjayakan sebuah filem aksi terbaru terbitan Loyal Studios Sdn Bhd berjudul Sindiket.

Filem taruhan sutradara Bade Hj Azmi ini mengisahkan isu memperdagangkan manusia yang berlaku di Sabah. Inspektor Rudy dari Unit Khas D7 dipertanggungjawabkan untuk menghalang kes tersebut yang dipercayai dilakukan oleh penjenayah yang dikenali sebagai Gang Sulu.

Berkesempatan mengikuti lawatan ke set penggambaran Sindiket yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah, Zass sempat menemu ramah pelakon dan pengarah mengenai pengalaman mereka menjayakan filem ini.

Sharnaaz ambil risiko

Berlakon dalam filem aksi pastinya memberi cabaran hebat buat semua pelakon terutamanya bagi mereka yang jarang menerima tawaran seperti ini. Bagi Sharnaaz, walaupun menyedari untuk melakukan aksi-aksi lagak ngeri bakal mengundang pelbagai risiko, namun demi kepuasannya sebagai seorang pelakon dia sanggup untuk menjayakannya.

"Saya memegang watak sebagai Inspektor Rudy dan boleh dikatakan banyak juga aksi yang perlu dilakukan untuk watak ini.

"Tapi atas faktor keselamatan, Abang Bade tidak benarkan saya buat babak aksi itu dan serahkannya kepada pelakon 'stunt'," katanya.

Menurut Sharnaaz, tidak sukar untuknya menghayati watak kerana dunia polis tidak asing bagi dirinya.

"Bukan sahaja kawan, tapi bapa saudara saya juga adalah seorang polis D7 jadi itu bukan cabaran besar buat saya.

"Sebelum ini juga saya pernah membawa watak sebagai seorang anggota polis marin dan pengalaman itu sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk hidupkan watak ini dengan baik," jelasnya.

Tambah Sharnaaz lagi, Sindiket adalah kerjasama pertamanya bersama pengarah Bade Hj Azmi.

"Bagi saya, dia adalah seorang yang 'perfectionist' jadi sebagai pelakon saya harus lakukan yang terbaik supaya semua pihak berpuas hati dengan hasilnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama siri Cinta Ramadan di Singapura minggu lalu.

Berbeza dunia sebenar

Menerusi filem ini, Daphne turut dipertanggungjawabkan memegang watak sebagai Inspektor Sabrina yang merupakan rakan sepasukan Inspektor Rudy dalam menyelesaikan kes memperdagangkan manusia.

Walaupun akui tawaran lakonan kali ini memberi cabaran hebat buat dirinya, namun demi kepercayaan pengarah dan penerbit yang memilihnya untuk terlibat sama dalam filem ini membuatkan Daphne bersemangat untuk melakukannya.

"Memegang watak sebagai seorang polis secara automatik membuatkan karakter saya berbeza berbanding dunia sebenar," katanya.

"Mujurlah ayah saya juga merupakan seorang anggota polis. Banyak perkara saya rujuk padanya termasuklah dari segi pemakaian dan isu memperdagangkan manusia yang berlaku di sini," katanya.

Menyentuh mengenai gandingannya bersama Sharnaaz, pengacara kelahiran Sabah ini mengakui sangat kagum dengan bakat yang dimiliki aktor itu.

"Dia bijak menyesuaikan diri dengan karakter. Saya pula masih lagi belajar dan memang rasa gugup melihat kehebatannya," katanya.