Monday, June 24, 2013

Dilema badak Afrika di hutan China



RAMAI aktivis berpendapat badak Afrika tidak mampu hidup di hutan China tanpa penjagaan dan pemakanan yang rapi.


DI dalam hutan hujan tropika China, tujuh ekor badak Afrika dikatakan menunggu waktu untuk dilepaskan ke hutan. Bagaimanapun, perkembangan perdagangan sumbu badak di negara itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan haiwan tersebut.
Ketibaan haiwan-haiwan itu di Taman Hutan Negara Pu'er yang terletak di wilayah Yunan, barat daya China turut diberikan publisiti meluas. Imej badak Afrika tersebut yang diturunkan dari dalam kandang menggunakan kren ditayangkan di kaca televisyen.
Tetapi pengkritik mengatakan lebih 150 ekor badak Afrika yang telah dibawa ke China sejak beberapa tahun lalu bakal melalui kehidupan sukar di dalam persekitaran hutan tersebut. Situasi itu secara tidak langsung menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar projek berkenaan.
"Badak-badak itu tidak boleh dilihat oleh orang ramai. Anda juga tidak boleh melawatnya," kata penjaga haiwan, Qian Fuchun kepada AFP.
Majikannya, Kumpulan Mekong telah mengubah hutan yang masih tidak terusik dengan keluasan 23,800 hektar itu menjadi rumah kepada ratusan spesies burung dan cicak yang jarang ditemui kepada destinasi pelancongan.
Di Afrika Selatan, pengunjung yang datang ke taman negara biasanya tidak dibenarkan keluar dari kenderaan dan mereka harus ditemani renjer bersenjata.
Namun, lakaran di dinding pejabat Qian menunjukkan pelawat bersiar-siar dengan bebas di kawasan badak kelabu yang tertera papan tanda bertulis zon melihat badak di sebatang pokok.
Selain itu, krew AFP turut melihat para pekerja mengukir jalan merentasi hutan untuk membina lokasi rumah percutian keluarga.
"Kami harap badak-badak ini boleh membiak di sini. Itu matlamat utama kami. Kami akan bertanggungjawab melepaskan kawanan haiwan itu ke hutan. Projek ini adalah mengenai penyelidikan saitifik," jelas Qian.
Skim ini dibuat kerana berlakunya peningkatan pemburuan badak putih Afrika. Permintaan sumbu badak yang tinggi bagi tujuan perubatan tradisional di Asia Tenggara dan China menyebabkan haiwan tersebut dibunuh secara meluas walaupun Beijing mengharamkan penggunaannya pada tahun 1993.
Menurut laporan harga terbaharu di Vietnam, pasaran utama untuk sumbu badak menjadikan serbuknya lebih mahal daripada emas.
Badak putih diklasifikasi sebagai spesies hampir terancam dengan populasi yang tinggal kira-kira 20,000 di hutan, namun kerajaan Afrika Selatan mengatakan pemburuan meningkat daripada 13 haiwan pada 2007 kepada 668 tahun lalu.

KUMPULAN Mekong mendakwa badak Afrika dibawa ke China untuk tujuan penyelidikan.


Penternakan komersial badak
Badak Asia yang dimiliki China, spesies berbeza telah diburu sehingga pupus sekitar seabad yang lalu.
Menurut data daripada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam (CITES) yang mengawal perniagaan hidupan liar global, China mengimport lebih daripada 150 badak putih dari Afrika Selatan sejak 2007 hingga 2012.
Eksport badak hidup untuk ke destinasi yang sesuai dibenarkan di bawah CITES, namun rahsia mengenai projek China mengundang kerisauan.
Menurut laporan akhbar China-Daily, badak di Yunan berusia antara enam dan lapan tahun. Ia diimport dari Afrika Selatan pada 2010 dan dipelihara di taman hidupan liar di bandar itu sehingga dipindahkan ke hutan.
Sementara itu, pakar badak di kumpulan pemuliharaan haiwan Traffic, Tom Milliken memberitahu, hutan di China amat tidak sesuai untuk haiwan tersebut.
"Haiwan-haiwan ini tidak akan mampu hidup lama di hutan hujan. Kita perlu mengambil berat tentang nutrisi dan keupayaan kumpulan badak tersebut untuk menghadapi perubahan habitat sedemikian.
"Jika kita tidak menyediakan makanan tambahan, ia mungkin kelaparan. Ini bukan satu pemuliharaan," luah Milliken.
Kebimbangan Milliken kemudian telah disuarakan pakar-pakar China.
Profesor Ekologi di Universiti Normal Beijing, Zhang Li memberitahu media tempatan: "Ini adalah satu projek penternakan badak yang beroperasi secara komersial dan bukannya usaha akademik."
Kumpulan Mekong bagaimanapun tidak mahu memberi sebarang komen kepada AFP sejak beberapa minggu lalu. Dalam pada itu, pihak berkuasa wilayah berkata, taman itu telah dibina dengan kebenaran dan enggan mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: