Dicekup ketika leka tunggu pelanggan
Najib (kanan) ketika membuat pemeriksaan terhadap suspek.
KULIM - Seorang pengedar dadah berjaya ditahan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Sub Inspektor Mohd Najib Abdul Aziz di jalan Kilang Lama berhadapan dengan sebuah bank ketika leka menunggu pelanggan, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika membuat rondaan cegah jenayah, polis ternampak seorang lelaki berusia 40-an duduk di atas motosikal di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek cuba melarikan diri sebaik saja polis memintas di hadapannya, bagaimanapun dia berjaya ditahan.

Ketika membuat pemeriksaan badan, polis menemui lima peket lutsinar di dalam bekas rokok suspek dipercayai dadah dan sebiji pil khayal eramin 5.

“Selain itu polis turut menemui ratusan plastik lutsinar serta tiub kosong dan kami percaya suspek merupakan seorang pengedar dadah," katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD) sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian air kencing dan suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ghuzlan berkata, suspek mempunyai tiga anak dan tidak bekerja selain menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kulim.

“Kami percaya dadah yang dibawa oleh suspek merupakan jenis syabu seberat 2.55 gram. Suspek akan disiasat di bawah seksyen 12(2) kerana memiliki dadah,” katanya kepada Sinar Harian.