Tuesday, June 25, 2013

Belajar bahasa Melayu untuk ajar bahasa Inggeris




HANYA mereka yang sensitif terhadap budaya, persekitaran dan cara hidup sesuatu tempat itu pasti melihat perkara paling remeh mengenai satu-satu bangsa. Bagi yang tidak peka sudah pasti hanya melihat dari sudut sempit tanpa menghargai dunia sekeliling ketika melancong ke luar negara.
Begitulah pengalaman yang dikutip oleh Benjamin Charles Bradshaw dari Salt Lake City, Utah, Amerika Syarikat (AS). Perasaan teruja yang dialaminya di negara orang bukan apabila menyaksikan bangunan pencakar laut mahupun jualan murah pada harga rendah.
Sebaliknya, anak muda yang berusia 26 tahun itu lebih menghargai cara ahli masyarakat itu makan, bercakap, berbual mahupun berkomunikasi.
"Penduduk Malaysia mempunyai tabiat tidak makan sambil minum, mereka akan makan sehingga habis dahulu kemudian baru minum.
"Bagi orang Amerika, kami akan makan sambil minum dengan satu gelas minuman manis yang besar," kata Benjamin yang ditemui di restoran NZ Garden, Jalan Saloma, Kuala Lumpur.
Menurutnya, garfu di tempat asal merupakan perkakas makanan yang penting walaupun makan nasi, tetapi di sini nasi dimakan menggunakan sudu.
Bagaimanapun, makan dengan tangan bukan menjadi masalah atau perkara pelik baginya. Makanan segera seperti sandwic atau burger dimakan menggunakan tangan begitu sahaja.
Ketika ditemu bual Kosmo!, dia yang kini sedang dalam latihan industri di Kedutaan AS, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur begitu enak menikmati roti nan yang dicecah kuah kacang dal sambil menikmati segelas air Milo ais.
Benjamin kelihatan berselera dan tidak kekok mencubit sedikit roti itu dengan tangan kemudian dicolek pada kuah seterusnya disuap ke mulut.
Namun, berbanding roti canai, sajian Malaysia yang paling digemarinya ialah rendang yang pertama kali dicuba Benjamin di sebuah restoran di KL Sentral. Rendang itu menjadi salah satu jenis lauk untuk nasi lemak yang dimakan ketika itu.
"Ia begitu sedap dan rasanya terasa begitu lengkap," ujarnya ringkas.
Barangkali ramai penduduk Malaysia yang terpinga-pinga tidak mengenali jika nama Benjamin disebut kerana dia lebih dikenali sebagai Ben Bradshaw di alam maya menerusi laman sosial Facebook dan YouTube.
Selebriti laman sosial
Jika itu masih lagi menimbulkan tanda tanya, nama julukan, Cikgu Ben ataupun Gigi Putih pasti membuatkan ramai menganggukkan kepala tanda mengenali dia.
Tidak salah dikatakan bahawa dia merupakan selebriti laman sosial. Ia terserlah apabila kita mengikuti akaun media sosialnya.
Laman Fan Page Ben yang menggunakan nama Ben Bradshaw sudah mencapai lebih 69,000 like, manakala akaun Twitternya, @bencbradshaw pula sudah mencecah bilangan lebih 5,000 follower, kebanyakannya orang Malaysia.
Menarik tentang lelaki itu yang menetap di Utah, dia boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Apa yang lebih mengagumkan, setiap susunan perkataan yang keluar dari mulutnya amat mudah difahami oleh kita sebagai penutur asli.

BEN kini sedang menjalani latihan industri sehingga Ogos nanti di Kedutaan AS, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.


Dengan keupayaan menguasai bahasa Melayu Ben kemudiannya menggunakan medium laman sosial untuk berkongsi ilmu mempelajari bahasa Inggeris kepada orang Malaysia.
Apa yang pasti kebolehannya yang mampu bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dengan mudah membuatkan nama Ben Bradshaw menjadi perbualan dalam alam maya.
Selain kemas kini status, dia turut membuat video-video mengajar bahasa natifnya. Selain itu, dia juga menjadikan laman sosial untuk bertanyakan soalan berkaitan permasalahan bahasa Melayu dengan orang ramai.
Video paling mendapat sambutan dengan bilangan tontonan paling tinggi bertajuk Ben Bradshaw: Kata-kata English yang susah dibezakan dengan jumlah sebanyak 173,460.
Idea membuat video mengajar bahasa Inggeris datang daripada abangnya sendiri, Adam Bradshaw. Abangnya sangat mahir berbahasa Thai.
Abangnya kini mempunyai rancangan sendiri di saluran Voice TV, The Breakdown with Adam Bradshaw dan menetap di Bangkok, Thailand.
Selepas Ben membikin video pertama, permintaan untuk menjadi rakan dalam laman Facebook meningkat sehingga 900 orang dan kini, sudah tepu lalu Ben membuka Fan Page sekitar November 2010.
Ben merupakan anak jati Utah dan pernah menetap di Portland, Oregan dari umur satu hingga lapan tahun. Dia merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik yang terdiri daripada empat lelaki seorang perempuan.
Ketika berusia 19 tahun, Ben menyertai aktiviti sukarelawan yang membantu penduduk pedalaman belajar bahasa Inggeris.
Belajar bahasa Melayu di Sabah
Dia memilih Malaysia kerana dekat dengan Thailand yang menjadi tempat abangnya menetap. Tempat pertama dia ditugaskan adalah di Sabah antara bulan Oktober 2006 hingga Mac 2007.
Ketika tiba di negeri tersebut dan mula mengajar bahasa Inggeris di sana, Ben mendapati kebanyakan penduduk di situ sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama.
"Sebab itu bahasa Melayu yang ditutur saya kedengaran seperti baku," ungkapnya bagi menjelaskan gaya percakapannya tidak seperti penduduk di Kuala Lumpur.
Bagi membolehkan dia dapat berkomunikasi dengan penduduk tempatan, Ben terpaksa berhempas-pulas belajar bahasa Melayu.
Tidak mengikuti kelas bahasa, dia perlu menjadi kreatif seperti belajar bahasa dengan menggunakan kad imbas buatan sendiri setiap pagi.
Kad imbasnya mengandungi perkataan dan juga ayat dalam bahasa Melayu, manakala terjemahan dalam bahasa Inggeris pada bahagian hadapan kad.

FOTO-FOTO yang dilampirkan dalam Twitternya menggunakan penerangan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.


Setiap kali berjumpa dengan orang tempatan, Ben berusaha bercakap dalam bahasa Melayu. Kamus elektronik jenama Besta juga banyak membantunya.
Dalam masa empat bulan, Ben akhirnya sudah dapat bertutur dengan baik bersama penduduk setempat.
Kemudian dia bertugas di Kuala Lumpur sehingga Disember 2007 sebelum ditugaskan di Miri dan Kuching, Sarawak.
"Ketika di Kuala Lumpur, saya langsung tidak dapat mempraktikkan bahasa Melayu kerana semua orang mahu bercakap dalam bahasa Inggeris," katanya lagi.
Barangkali, ramai yang menyangka minat Ben dalam bidang linguistik adalah untuk membolehkan dia hidup dan bertahan di sesuatu tempat.
Namun, minatnya bercambah sehingga berusaha mencari sebuah buku bertajuk Kembali Kepada Jawi di kawasan Masjid Jamek, Kuala Lumpur semata-mata mahu memahami bahasa Melayu dalam penulisan tersebut.
"Ketika bertugas di Miri, saya ada mengembara ke Brunei pada tahun 2006. Saya mendapati papan tanda jalan di sana mempunyai dua cara penulisan iaitu rumi dan jawi," ceritanya.
Lelaki yang mempunyai ketinggian 182 sentimeter itu juga mengetahui bahawa terdapat perbezaan antara bahasa Indonesia dan bahasa Melayu walaupun kedengaran sama.
Selepas dua tahun berada di Malaysia, dia pulang ke AS dan menyambung pelajaran dalam peringkat sarjana muda bidang kejuruteraan mekanikal dan sijil TESOL (Teaching English to Speakers of Other Languages) selama lima tahun.
Dia ke Malaysia baru-baru ini kembali ke Malaysia untuk menjalani sesi latihan industri dari bulan Mei sehingga Ogos 2013 di Kedutaan AS, Jalan Tun Razak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: