Thursday, June 27, 2013

Air bersih untuk 32 kampung di Sabah


KUMPULAN sukarelawan syarikat Coca-Cola dan Raleigh International yang terlibat dalam projek khas di Sabah bergambar bersama-sama.


PERCUBAAN melaksanakan projek Air Bersih Untuk Komuniti di Sabah oleh syarikat Coca-Cola Malaysia dan pertubuhan amal luar negara, Raleigh International, telah berkembang menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang signifikan.
Projek yang telah mencecah usia tujuh tahun itu memberi manfaat besar kepada 32 buah kampung di kawasan pedalaman negeri itu.
Menerusi projek berkenaan, kedua-dua pihak telah membantu membangunkan sistem paip yang berupaya membekalkan air menggunakan kuasa graviti secara terus ke kampung terbabit.
Segalanya bermula pada tahun 2006 apabila sekumpulan belia sukarelawan Raleigh melawat Kampung Paus yang terletak jauh di pedalaman daerah Ranau.
Melihat keadaan penduduk kampung yang terpaksa menempuh perjalanan jauh bagi mengangkut air dari sungai ke rumah, kumpulan belia yang berumur antara 17 hingga 25 tahun itu lantas terfikir untuk membangunkan sistem saluran air paip itu.
Projek itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.
Mereka berpendapat kekurangan atau ketiadaan bekalan air bersih dalam cuaca tropika Malaysia yang sering mengalami hujan lebat adalah sesuatu yang pelik.
Jadi sesuatu harus dilakukan untuk mengatasi masalah itu.
Kurangkan beban
Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Kadri Taib berkata, sukarelawan terbabit turut dibantu oleh masyarakat tempatan khususnya dalam mengenal pasti sumber air bersih dari sungai berdekatan.
Kemudian, katanya, sebuah empangan dibina di kawasan punca air yang terletak di kedudukan yang lebih tinggi daripada perkampungan terbabit. Selepas itu, saluran paip dipasang di dalam empangan itu sebelum disalurkan ke kawasan kediaman.
“Dengan cara ini, air sungai boleh sampai terus ke rumah mereka. Penduduk tidak perlu lagi bersusah payah menggunakan baldi atau tong untuk mengangkut air dari sungai. Pemandangan wanita dan kanak-kanak yang terpaksa menanggung beban yang berat dan berjalan jauh sepatutnya tidak lagi kelihatan,” katanya.
Kadri berkata, masyarakat luar bandar yang tinggal di kawasan terpencil dan hanya dapat diakses melalui jalan berlumpur bergantung kepada sumber air terdekat seperti sungai atau mata air bagi meneruskan kehidupan.

KEGIGIHAN sukarelawan yang sanggup tinggal lama dalam persekitaran yang serba asas demi tugas wajar dipuji.


“Selama beberapa tahun ini, saya dapat melihat keazaman dan kesungguhan sukarelawan belia Raleigh yang mahu membantu mengatasi masalah penduduk di pedalaman Sabah.
“Kami mempunyai lebih 870 orang sukarelawan yang melaksanakan projek ini. Mereka sentiasa bersemangat dan tidak pernah mengeluh walaupun terpaksa tinggal dalam persekitaran yang sukar selama beberapa minggu,” ujarnya.
Sinar baharu
Sehingga hari ini, Kadri berkata, projek tajaan Coca-Cola bernilai RM645,000 itu telah membawa sinar baharu kepada lebih 15,000 penduduk yang kini dapat menikmati kemudahan air bersih untuk kegunaan harian.
Menurutnya, pada penghujung April lalu, projek yang sama turut diadakan di tiga buah kampung di daerah Pitas iaitu Kampung Bulud Batu, Boribi dan Pinapak.
Sama seperti kampung yang sebelum ini tidak mempunyai sumber air bersih, penduduk kampung berkenaan bergantung kepada tadahan air hujan atau perigi sebagai sumber bekalan air.
Seorang penduduk, Rodiah Aleng berkata, apabila air dari sumber tersebut kehabisan, mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh bagi mendapatkan air sungai.
“Kami amat gembira. Tidak dapat saya gambarkan perasaan apabila membuka pili dan melihat air bersih mengalir keluar dari situ,” kata ibu kepada dua orang anak ini.
Rodiah berkata, sebelum ini dia akan menaiki kereta ke sumber air terdekat dari kampung itu bagi menadah air dan mengisinya ke dalam bekas plastik untuk kegunaan selama seminggu.
Namun, perkara itu tidak lagi perlu dilakukan dengan adanya projek Air Bersih Untuk Komuniti oleh Coca-Cola dan Raleigh di negeri itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: