Tasha dan Syed
Tasha dan Syed cuba nasib dalam industri muzik.
PASANGAN duo Youtube pertama di Malaysia, Tasha Manshahar, 21 dan Syed Shamim, 20 melancarkan dua single mereka berjudul Be Mine dan Cuba Teka, hari ini.

Bermula dengan hobi dan sekadar untuk tontonan rakan-rakan, kedua-dua penyanyi muda ini terus mendapat perhatian di laman sosial, Youtube.

Ekoran kekangan masa kerana masih bergelar pelajar di Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas Cheras, pasangan duet ini melancarkan single pertama, Be Mine bersama single kedua mereka, Cuba Teka.

"Kami tidak dapat meluangkan masa untuk melancarkan Be Mine sebelum ini, jadi, hari ini, kami ambil peluang untuk melancarkan kedua-duanya sekaligus," kata Tasha ketika membuat persembahan di majlis pelancaran single mereka, di Hard Rock Cafe.

Kedua-dua lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Tasha.

Pada majlis sama, Tasha dilantik sebagai duta bagi produk, Shopie Secret and Beauty, keluaran Syarikat Health and Beauty Boutique.