Thursday, May 30, 2013

Puting beliung terburuk


KERJA-KERJA mencari mangsa akan dihentikan setelah pihak penyelamat yakin tiada mayat yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.


BANDAR Oklahoma yang terletak di Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai lembah puting beliung kerana sering diserang bencana berkenaan.
Seorang pakar meteorologi AS, Harold Brook berkata, bencana itu berlaku disebabkan pertembungan angin panas dan kelembapan udara.
Sehubungan itu, ia menyebabkan beberapa kawasan di tengah Oklahoma kerap dilanda puting beliung yang kuat.
Terbaharu, ia berlaku di Moore, Bandar Oklahoma sehingga menyebabkan 91 orang terkorban termasuk 20 kanak-kanak.
Kejadian yang berlaku pada 20 Mei lalu itu telah meranapkan banyak rumah, dua buah sekolah dan sebuah hospital malah menyebabkan 50,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Menyelamatkan anak
Seorang ibu, LaTisha Garcia, 28, berkata, dia segera menuju ke sekolah anaknya apabila televisyen menyiarkan berita mengenai bencana itu melanda sekolah anaknya.
Garcia berkata, ketika itu, dia hanya memikirkan cara-cara untuk menyelamatkan anaknya, Jazmin Rodriguez yang berusia lapan tahun.
"Walaupun, saya terpaksa memandu sejauh 48 kilometer, ianya berbaloi kerana saya dapat membantu menyelamatkannya," katanya.
Berbicara lanjut mengenai pengalamannya itu, sebaik tiba di kawasan sekolah, dia mendapati pasukan keselamatan sedang giat menjalankan operasi menyelamatkan murid-murid yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan sekolah.
JUMLAH rumah yang musnah masih belum diketahui.


Justeru, dia memohon kepada pasukan keselamatan untuk turut serta menjalankan operasi itu.
"Mereka setuju dan setiap murid yang berjaya dibawa naik diserahkan kepada saya. Secara kebetulan, salah seorang mangsa merupakan anak saya.
"Pada mulanya, saya tidak dapat mengecam anak saya, mujurlah saya teringat baju yang dipakainya hari itu," katanya sambil memberitahu ramai rakan anaknya mati dalam bencana tersebut.
Rodriguez berkata, dia menyangka akan mati apabila terdengar bunyi runtuhan yang kuat kerana ketika itu dia berada di bawah sisa runtuhan.
"Saya pengsan dan apabila bangun, banyak batu dan pasir di atas badan saya selain jeritan meminta tolong serta orang mengerang kesakitan," katanya sambil memberitahu tidak lama selepas itu dia mendapat bantuan daripada pasukan keselamatan.
Paling buruk
Bandar Moore kini dipenuhi runtuhan dan serpihan binaan manakala papan tanda diterbangkan angin, rumah musnah serta kenderaan tunggang terbalik.

PASUKAN bomba sukar mencari lokasi bencara ekoran banyak papan tanda telah musnah.


Bencana berkenaan dianggap paling buruk di AS sejak puting beliung melanda Joplin, Missouri yang telah membunuh 161 orang kira-kira dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberitahu, tenaga puting beliung tersebut 600 kali lebih kuat berbanding bom atom.
Puting beliung selebar dua kilometer dan bergerak sejauh 27 kilometer selama 40 minit itu bertiup selaju 320 kilometer sejam (kmj) hingga 337 kmj.
Sementara itu, Presiden AS, Barack Obama mengisytiharkan kawasan di sekitar Oklahoma sebagai kawasan bencana besar.
Ketua Pasukan Bomba Moore, Gary Bird berkata, operasi yang dijalankan hampir 24 jam itu akan dihentikan selepas pihaknya yakin tiada lagi mayat atau mangsa yang terselamat tertimbus di bawah runtuhan rumah atau bangunan.
Pada masa sama, beliau mengakui pihaknya mengalami kesukaran untuk tiba ke lokasi bencana disebabkan kesemua papan tanda arah diterbangkan dalam kejadian puting beliung itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: