Monday, May 27, 2013

Kuasa memilih hak mutlak Que


QUE bersama sebahagian pelakon kanak-kanak Budak Johor kini giat menjalani penggambaran telemovie bercorak sukan bola sepak tersebut.


KIRA-KIRA dua tahun lalu, pelakon berbakat besar, Que Haidar pernah meluahkan hasratnya untuk bersara dari dunia hiburan kerana ingin memberi fokus kepada perniagaan dan keluarganya.
Namun, sebaliknya pula berlaku apabila Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 34, telah berubah fikiran apabila kembali beraksi di dalam sebuah telefilem arahan Hashim Rejab iaitu Budak Johor.
Bertemu dengan Que Haidar ketika dia menjalani penggambaraan di Segambut, Selangor baru-baru ini, Que memberikan respons tentang apakah yang membuatkannya ingin kembali berkecimpung di dalam dunia seni yang sudah lebih 20 tahun diceburinya. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Que.
Kosmo!: Que Haidar, kenapakah anda kembali berlakon, terutamanya dalam telemovie?
QUE HAIDAR: Memang saya ada membuat pengumuman itu, tetapi apabila Hashim Rejab datang kepada saya dan tunjukkan skrip telemovie Budak Johor tiba-tiba hati saya terbuka untuk menerimanya. Mungkin jodoh saya bersama naskhah ini kuat (jelas Que sambil ketawa).
Sejauh mana keseriusan anda dalam bidang lakonan sebenarnya? Tidakkah ia memberi impak kepada kerjaya anda kerana dengan kembalinya anda ke dalam dunia hiburan, ia seperti anda cakap tak serupa bikin?
Sebenarnya lakonan adalah jiwa saya. Apabila saya rasa cerita itu bagus dan kebetulan watak yang ditawarkan itu belum pernah saya lakonkan lagi, jadi apa salahnya saya ingin mencuba.
Seperti dalam naskhah ini, saya pertama kali membawa watak jurulatih bola kepada pasukan kanak-kanak bernama Atan. Saya fikir ini sesuatu yang baharu buat saya, jadi saya terima.
Jujurnya, sebelum ini ada juga produksi lain cuba melamar, tetapi saya menolak kerana merasakan tidak sesuai. Bagaimanapun, kali ini tidak kerana kuasa memilih terletak di tangan saya.
Apakah kekuatan cerita Budak Johor ini sehingga membuatkan hati anda terbuka?
Pertama sekali apabila saya membaca skrip cerita ini, saya dapat rasakan yang jalan cerita ini ada persamaan seperti filem kesukaan saya iaitu Kami lakonan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. Ia tentang semangat juang untuk berjaya. Sebab itu saya tidak memerlukan masa yang lama untuk bersetuju berlakon telefilem ini.
POTRET keluarga. Que dan Linda bersama tiga permata hati mereka (dari kiri), Tengku Ratu Haidar, Qalif Khan dan Tengku Cleopatra Haidar.


Jadi selepas ini, jika ada pengarah lain ingin mengambil anda untuk berlakon di bawah arahan mereka, adakah anda akan mempertimbangkannya?
Ya, tengoklah bagaimana kerana saya akan lebih memilih dan demand dengan watak yang ditawarkan. Sebenarnya, saya ingin sekali digandingkan dengan pelakon hebat seperti Sidi Oraza dan Ellie Suriati. Jika ada yang tawarkan gandingan ini, saya tidak mungkin menolaknya.
Selepas telefilem ini, adakah mana-mana lagi tawaran berlakon yang telah anda terima?
Ada, tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan. Jika tiada apa-apa halangan saya mungkin berlakon di bawah arahan pengarah filem Bunohan iaitu Din Said. Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan untuk berlakon di bawah arahan beliau dan nampaknya hasrat saya seperti menjadi kenyataan. Tunggu sahaja pada hujung tahun ini.
Menyentuh mengenai kehidupan peribadi bersama isteri (Linda Jasmine), bagaimanakah dengan perkembangan keluarga anda?
Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya bahagia bersama mereka. Jika tiada aral, saya dan Linda ingin menghantar anak sulung, Qalif ke Amerika Syarikat pada tahun depan untuk bersekolah di sana dan menetap bersama kakak Linda. Anak kedua, Tengku Ratu pula akan memasuki kelas tarian balet.
Selain berlakon dan menjalankan perniagaan, apa lagi yang sedang anda lakukan sekarang ini?
Tiada. Kalau tiada kerja saya selesa berada di rumah menjaga anak-anak. Walaupun ada dua orang pembantu rumah, saya dan Linda akan bergilir-gilir untuk memastikan salah seorang daripada kami duduk di rumah. Bergantung kepada kesibukan masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: