Monday, May 27, 2013

Fokus Pada Filem Punca Izara Aishah Menyepi

Izara bakal muncul dengan lima buah filem.
PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah mengakui tumpuannya kepada projek filem pada tahun ini telah menyebabkannya jarang muncul di televisyen sejak akhir-akhir ini.
Izara bagaimanapun berkata, itu tidak bererti dia tidak mahu lagi berlakon dalam drama sebaliknya akan menerima tawaran sekiranya ia sesuai.
"Saya kelihatan menyepi mungkin kerana jarang berlakon drama untuk TV3 pada tahun ini kerana sebelum ini banyak lakonan saya untuk siaran stesen tersebut.
"Tambahan pula tahun ini memang saya memberi tumpuan kepada projek filem dan jadual sangat penggambaran sangat padat," jelasnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Izara berkata, dia tidak bimbang popularitinya dikatakan merundum gara-gara jarang muncul di televisyen kerana sedar tidak banyak karya terbaharu menampilkannya.
Jelas Izara, dia juga melihat perkara itu dari sudut positif kerana jika terlalu kerap muncul bimbang ia akan membuatkan penonton bosan.
"Jika terlalu kerap muncul takut orang bosan pula dan biar sesuatu kemunculan itu dapat meninggalkan kesan kepada penonton," ujarnya.
Sementara itu, Izara berkata, dia kini sedang dalam proses menyiapkan lima buah filem dan mengakui jadualnya cukup padat sehingga tiada masa untuk dirinya sendiri.
Bagaimanapun kata Izara, kepercayaan yang diberikan adalah satu peluang untuk dia buktikan kemampuan diri sebagai seorang pelakon dan mengakui menimba pelbagai ilmu daripada pengarah-pengarah yang dia bekerjasama.
"Alhamdulillah rezeki murah tahun ini dengan pelbagai tawaran filem dan kepercayaan mereka tidak akan saya sia-siakan," katanya.
Izara bakal muncul dengan lima buah filem iaitu Showdown The Movie, Sejoli, Pilot Cafe, KL Zombie dan Balun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: