Friday, April 26, 2013

Stesen TV ‘Gam’ Artis, Seniman Mahu Penjelasan

Ezany (kiri) berkata sesuatu sambil diteliti oleh Zed Zaidi berhubung insiden dia 'digam' oleh RTM.
KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan menghantar surat untuk bertemu dengan pihak pengurusan semua stesen televisyen (TV) di negara ini selepas mendapat dakwaan beberapa ahlinya dipercayai ‘digam’ oleh beberapa stesen TV.
Presiden Seniman Zed Zaidi berkata, pihaknya bagaimanapun akan meneliti terlebih dahulu aduan pelakon berkenaan iaitu Adam Corrie Lee Abdullah, Man (Raja Lawak) dan Ezany Nizarif yang mendakwa diketepikan oleh stesen berkenaan.
"Pihak kami akan mengkaji setiap laporan yang diberikan oleh ketiga-tiga artis ini sebelum membuat surat untuk bertemu dengan semua pihak stesen TV.
"Saya perlukan penjelasan sebab-sebab mereka digam kerana tiada 'hitam putih' daripada pihak berkenaan mengatakan tiga artis ini digam.
"Difahamkan setakat ini Man dan Ezany mempunyai masalah dengan RTM manakala Corrie pula memberitahu dia tidak lagi menerima sebarang tawaran berlakon daripada kesemua stesen TV di Malaysia, " katanya.
Rita Rudaini (kiri) menunjukkan laporan aduannya kepada wakil Seniman.
Pertemuan dengan artis-artis berkenaan telah berlangsung pada Khamis di pejabat Seniman di Taman Melawati, di sini.
Selain pelakon berkenaan, aktres Rita Rudaini turut membuat laporan kepada Seniman kerana tidak puas hati dengan sebuah syarikat produksi yang didakwanya sebagai tidak profesional ketika melakukan penggambaran.
Dalam laporannya Rita mendakwa dia hanya menjalani penggambaran selama empat hari daripada keseluruhan penggambaran yang mengambil masa sehingga Julai depan dalam drama 40 episod itu.
Hal tersebut membuatkan syarikat itu mengeluarkan surat tuntutan ganti rugi terhadap Rita yang menarik diri sebelum penggambaran tamat.
Sementara itu Ezany pula merasakan dirinya telah digam oleh pihak RTM selepas dia membuat kenyataan mengkritik sebuah syarikat produksi yang bermasalah mengenai bayaran.
Ia menyebabkan 20 drama yang sepatutnya dia berlakon ditolak oleh stesen berkenaan.
Dalam pada itu. Corrie pula berasa dianiaya apabila gambarnya yang hadir ke sebuah ceramah agama telah dimanipulasikan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan menuduhnya menyertai parti pembangkang.
Perkara itu membuatkan tidak ada satu pihak stesen TV yang mahu memilihnya berlakon bagi mana-mana drama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: