Saturday, April 27, 2013

Penjelajah urban


FZ150i menawarkan kadar penggunaan petrol yang boleh dikategorikan sebagai jimat.


PENGENALAN Yamaha FZ150i pada tahun 2008 menandakan bahawa Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kembali bersaing dalam segmen motosikal 150cc tempatan.
Sebelum itu, HLYM ada mengambil bahagian dalam kategori itu menerusi model Yamaha TZM. Namun, produksinya ditamatkan pada tahun 2000.
Ini bermakna hampir lapan tahun HLYM tiada produk pengganti untuk segmen berkenaan.
Yamaha FZ150i merupakan jentera pertama HLYM dalam kelas tersendiri yang dilengkapi teknologi sistem suntikan bahan api pada enjin empat lejang baharu.
HLYM kemudiannya memberi nafas baharu pada model naked itu menerusi dua pengenalan varian naik taraf, masing-masing pada tahun 2010 dan 2012. Varian 2010 dipasang lampu utama bersama skema warna baharu.
Bagi varian 2012 pula, transformasi membabitkan aspek kosmetik dan penghadang angin pada bahagian atas meter motosikal.
Mudah dicapai
Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang Yamaha FZ150i dengan kerjasama HLYM. Saya diberi tempoh selama seminggu untuk menguji FZ150i.
Sebaik sahaja kunci motosikal dimasukkan dan dipusingkan mengikut arah jam, lampu utama hadapan memantulkan cahaya.
Begitu juga dengan lampu membrek belakang. Anda perlu menunggu beberapa saat supaya lampu Engine Check pada meter RPM padam.
Ada dua cara untuk menghidupkan enjin, pertama menggunakan butang penghidup elektrik. Anda juga boleh gunakan cara penendang kaki.
Saya mendapati pemijak kaki kanan perlu dinaikkan terlebih dulu sebelum mulakan tendangan. Jika tidak, penendang kaki akan berlaga dengan pemijak kaki.
Klac tangan perlu ditarik sebelum memasukkan gear. FZ150i dilengkapi kotak gear lima kelajuan. Susun atur semua butang kawalan pada hendal didapati mudah dicapai oleh ibu jari.
Untuk memberi isyarat memintas kenderaan di hadapan, gunakan sahaja jari telunjuk kiri untuk menarik tuil Pass. Lampu utama akan memantulkan cahaya tinggi rendah.
Posisi kedudukan badan atas jentera itu dikategorikan sebagai memuaskan. Pelana hitam memberi keselesaan pada punggung dan pinggang sepanjang tunggangan.
Aspek kestabilan FZ150i boleh diberi pujian. Sistem penyerap hentak tunggal belakang dengan padanan fork hadapan menyerap kesan hentakan dengan baik.
Itu atas jalan kering. Apa yang saya kurang digemari ialah prestasi cengkaman tayar ketika berada atas jalan raya basah atau licin. Ia mudah membuang jika tidak berhati-hati.
PENYERAP hentak belakang bantu meningkatkan kestabilan tunggangan.


Pancaran lampu utama ketika tunggangan malam cukup bagus. Ia jelas dan tidak pecah-pecah. Pencahayaan lampu isyarat membelok dan lampu brek juga terang.
Satu tangki petrol penuh membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 335 kilometer (km) sebelum jarum minyak berada di zon merah E (kosong). Kelajuan tunggangan dikekalkan antara 80km sejam (km/j) hingga 130km/j.
Haba enjin jelas terasa pada bahagian betis kaki ketika saya memberhentikan motosikal biarpun memakai seluar jeans.
Seingat saya, kelajuan tunggangan dikekalkan antara 110km/j hingga 130km/j sejauh 52km. Ia kembali sejuk dengan khidmat satu unit kipas yang dipasang di belakang radiator.
Kipas itu dihidupkan secara automatik sejurus mengesan tahap kepanasan enjin FZ150i. Jika suhu kembali normal atau pada paras bersesuaian, kipas akan berhenti sendiri.
Jika anda berminat mendapatkan model ini, harga asasnya ialah RM8,188 sebuah. Itu tidak termasuk insurans, cukai jalan dan lain-lain caj.
Jaminan pula adalah selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000km (mana-mana tiba dahulu).
Berhubung aktiviti Yamaha FZ150i Jamboree yang sepatutnya diadakan pada 4 hingga 5 Mei ini, ia telah dibatalkan.
HLYM terpaksa berbuat demikian bagi membolehkan para pemilik Yamaha FZ150i untuk menunaikan tanggungjawab membuang undi.
Yuran pendaftaran yang dibuat akan dipulangkan secepat mungkin kepada mereka yang mendaftar. Anda diminta menghubungi mana-mana cawangan HLYM untuk maklumat pemulangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: