Saturday, April 27, 2013

Nazim Othman Cerewet Dengan Penampilan

Nazim lebih menggemari fesyen ringkas dan menepati citarasanya.
PETALING JAYA: Pelakon Nazim Othman mengakui agak cerewet dengan penampilan diri dan akan memastikan imejnya sentiasa kelihatan terurus dan bersesuaian dengan statusnya sebagai selebriti.
Nazim, 29, berkata, perkara itu menjadi keutamaannya kerana dia berpendapat menerusi imej ia akan menggambarkan personaliti seseorang.
"Orang mungkin menilai kita daripada apa yang mereka lihat pada luaran dan sebab itu saya sangat mementingkan penampilan tambahan pula sebagai seorang selebriti saya mesti menjaga imej supaya tidak dipandang serong oleh masyarakat," katanya.
Bagaimanapun kata Nazim, itu tidak bererti dia akan berpakaian kemas sepanjang masa tetapi mengikut kesesuaian sesuatu majlis atau pun tempat yang ingin ditujui.
"Kalau setiap hari nak berpakaian cantik dan kemas susah juga tetapi ia perlu mengikut kesesuaian dengan majlis dan tempat yang ingin ditujui," katanya.
Dalam pada itu, Nazim berkata, dia bukanlah seorang yang terlalu obses dengan pakaian berjenama tetapi memilih sesuatu barangan itu mengikut selera dan kesesuaian.
"Kadang-kadang barang yang murah itu pun ada yang cantik dan sesuai. Jenama bukan satu isu tetapi cara kita sesuaikan sesuatu pakaian supaya tampak menarik.
"Paling penting ia dapat mencerminkan personaliti dan imej kita yang tersendiri," katanya.
Sementara itu, Nazim memberitahu, dia tidak terlalu memikirkan mengenai populariti sebagai artis sebaliknya mahu memberi fokus kepada karier lakonan yang semakin mendapat perhatian.
"Populariti itu pada saya satu bonus dan ia akan datang dengan sendiri. Paling penting kena usaha lebih keras supaya dapat mengukuhkan nama dalam industri. Tambahan pula persaingan sekarang semakin hebat," katanya.
Nazim bakal muncul dengan sebuah drama bersiri baru berjudul Epilog Cinta Kirana menerusi slot Samarinda di TV3.
Selain Nazim drama bersiri arahan Azmi Hatta itu turut menampilkan pelakon seperti Tasha Shilla, Raja Ilya, Alif Aziz dan Arash Mohamad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: