Monday, April 29, 2013

Berhenti sekolah, Chacha akan duduki SPM




SELAMA ini peminat lebih mengenali Emma Maembong sebagai seorang pelakon muda yang semakin meningkat naik, namun dia juga mempunyai seorang adik iaitu Chacha Maembong yang turut berlakon.
Sebenarnya, Chacha atau nama sebenarnya terlebih dahulu berkecimpung dalam lakonan sejak empat tahun lalu, berbanding kakaknya yang hanya mula berlakon sejak tahun lepas.
Menariknya, nama Emma pula kini lebih dikenali ramai sehingga ada yang menganggap bahawa dirinya seakan-akan tenggelam dengan populariti yang diraih oleh kakaknya itu.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Chacha yang ditemui semasa majlis pelancaran drama Kisah Chenta Cornetto Uda & Dara menyatakan dia tidak kisah apabila ada pihak yang cuba membandingkan mereka berdua.
Malah, Chacha turut memberitahu, walaupun tidak menamatkan persekolahannya, dia telah mendaftar sebagai calon yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
Kosmo!: Ceritakan tentang watak Chacha dalam drama Kisah Chenta Cornetto Uda & Dara ini?
CHACHA: Saya telah diberikan watak sebagai gadis bernama Aisha, seorang blogger yang cukup aktif dan pada masa yang sama menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat perhubungan awam.
Selain tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan, saya teruja untuk membintangi drama ini kerana ia menggandingkan beberapa pelakon popular dan baharu serta memberikan pengalaman yang cukup menarik buat diri saya.
Bercerita tentang popular, Emma kini dilihat lebih popular berbanding anda sekarang ini. Apakah pandangan anda mengenai perkara tersebut?
Sebagai adik saya sudah tentu berasa cukup bangga dengan pencapaian yang diraih oleh Emma sekarang. Walaupun saya lebih awal berlakon, tetapi rezeki nampaknya lebih berpihak kepada kakak saya.
Adakah anda tidak cemburu apabila Emma lebih menyerlah?
Rasanya saya tidak perlu rasa cemburu apabila Emma lebih menyerlah dan popular. Sebagai adik-beradik sudah tentu kami saling menyokong kerjaya masing-masing dan tidak kisah siapa antara kami yang lebih popular.
Pembabitan kami berdua dalam dunia lakonan ini bukanlah semata-mata mahu mengejar populariti, sebaliknya ia lebih kepada minat yang mendalam. Jadi, sepatutnya kami tidak boleh menanamkan perasaan cemburu dalam diri.
Adakah anda dan Emma pernah ditawarkan berlakon dalam sebuah drama yang sama?
Tawaran berlakon bersama-sama memang pernah kami peroleh, cuma jadual yang bertentangan menyebabkan kami terpaksa menolaknya. Lagipun saya tidak kisah sekiranya ditawarkan berlakon berdua.
Sebelum ini Emma ada membuat kenyataan bahawa dia mengambil keputusan berhenti sekolah dan belajar sendiri di rumah. Adakah anda turut mengambil langkah yang sama?
Tidak dinafikan saya turut mengikut jejak langkah Emma dan ia lebih memudahkan saya mengembangkan karier lakonan. Bagaimanapun, saya tetap memberi tumpuan kepada pelajaran dan sudah mendaftar sebagai calon persendirian untuk mengambil peperiksaan SPM tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: