GRO
Antara GRO warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen, malam kelmarin.
AYER KEROH - Baru saja hari pertama bekerja sebagai GRO, seorang wanita dirundung malang apabila pusat hiburan tempat dia bertugas diserbu penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, malam kelmarin.

Ketika serbuan, wanita warga Vietnam itu baru sehari tiba di negara ini, leka berkaraoke dengan beberapa lelaki di pusat hiburan di Taman Merdeka Permai, dekat sini.

Dia  antara 21 GRO warga Vietnam yang ditahan dalam operasi dua jam di premis berkenaan membabitkan 13 pegawai penguatkuasa jabatan dan dua pegawai operasi dan unit risikan.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, risikan di premis itu dijalankan seminggu sebelum serbuan dilakukan atas maklumat awam.

Menurutnya, ketika serbuan, 21 wanita Vietnam berusia 17 dan 32 tahun itu leka melayan pelanggan dalam 18 bilik karaoke.

“Tiga lelaki rakyat tempatan dipercayai majikan serta ‘penjaga’ kepada warga asing itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada media di ibu pejabat Jabatan Imigresen negeri, di sini semalam.

Kamalludin berkata, ini serbuan kedua di pusat karaoke berkenaan apabila operasi serupa tiga bulan lalu turut membawa kepada penahanan lapan GRO Vietnam.