Sunday, March 31, 2013

Pelan selamatkan Istana Budaya


ISTANA BUDAYA, pentas seni berprestij yang sentiasa harus dihidupkan dengan pementasan hebat dan berkualiti tinggi.


BANGUNAN beratap limas rona biru yang tersergam di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu tampak kebal. Bukan sahaja fizikalnya ampuh malah pengisian bangunan yang dikenali sebagai Istana Budaya itu bukan calang-calang.
Namun sejak kebelakangan ini, institusi yang selama ini menjadi ikon kesenian berprestij negara itu semakin dipertikaikan terutama dalam aspek pemilihan kandungan.
Bermula dengan pengunduran Muzikal Ombak Rindu yang sepatutnya masuk panggung pada Februari lalu, satu demi satu program berskala mega bertindak menarik diri daripada Panggung Sari. Tamat fasa pertama tahun 2013, Upin dan Ipin menjadi produksi terbaharu yang secara rasminya sudah mengemukakan kata putus untuk tidak akan menemui penonton di Istana Budaya dalam waktu terdekat.
"Kita sudah ada pengganti Upin & Ipin. Lawak Ke Der 3 dijanjikan masuk ke Istana Budaya pada pertengahan April nanti. Tapi, kita faham tarikh dan masa terlalu singkat untuk persediaan dari segi fizikal dan kewangan, lalu Lawak Ke Der 3 juga tidak akan dipentaskan dalam waktu terdekat.
"Cuma apa yang melegakan kami ialah setiap produksi yang menarik diri biasanya akan memberi kata putus awal. Mereka lebih bertanggungjawab dengan memaklumkan sebarang perubahan daripada jadual asal sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan awal," kata Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Sehingga hujung minggu lalu, meja pengurusan Istana Budaya sudah mengesahkan pengunduran tiga pementasan besar iaitu Muzikal Ombak Rindu, Upin & Ipin, Lawak Ke Der 3 dan Tirai Merah.
"Tirai Merah sepatutnya dipentaskan pada Jun nanti dengan pelakon Tiz Zaqyah dan Adi Putra sebagai tunjang utama. Sayangnya Tirai Merah juga tidak dapat dipentaskan tahun ini.

UPIN & IPIN THE MUSICAL sepatutnya kembali pada pertengahan April namun dibatalkan.


"Pementasan yang masih bertahan untuk dipentaskan ialah teater Chow Kit Road (Mei). Tapi sampai sekarang produksi itu berdepan masalah penajaan," jelas Juhari yang mesra disapa Abang Joe dalam kalangan petugas media.
"Pihak kami juga sudah menerima dan meluluskan permohonan produksi teater Nyonya daripada CTRA Production yang diterajui Siti Rohayah Atan. Teater Nyonya menjadi bidan terjun menggantikan Upin & Ipin yang tidak dapat diteruskan oleh produksi berkenaan. Harap teater Nyonya yang dijadualkan pada Jun ini tidak akan berdepan masalah," jelas Juhari lagi.
Ketawa sebelum menguraikan punca kepada pertukaran jadual, penundaan serta pengunduran produksi besar daripada meneruskan pementasan, kata Juhari:
"Ini antara kekalutan dalam industri seni. Ini baharu di Istana Budaya. Ia antara kesan politik semasa. Penerbit dan penaja takut untuk memberi komitmen kepada pementasan teater."
Sebagai sebuah agensi kerajaan, Juhari juga akur bahawa sikap tidak menetapkan bayaran yang mahal sebagai pendahuluan kepada mana-mana syarikat yang menempah tarikh program di Istana Budaya mungkin antara faktor yang menyebabkan mudahnya berlaku penundaan atau pembatalan program di situ.
"Kami hanya mengenakan bayaran sebanyak RM3,000 sebagai wang deposit. Cuma saya lebih kesal apabila pembatalan program itu datangnya daripada syarikat yang mempunyai profil yang kukuh dalam pementasan teater. Tapi bila masalah itu berkaitan penajaan dan kewangan, memang tak boleh dielak," tambah Juhari.
Sambil memberitahu bahawa Istana Budaya juga diaudit Jabatan Audit Negara berhubung pengaliran wang keluar dan masuk.
"Nasib baik kami tidak dipersalahkan atas kegagalan beberapa produksi yang masih hutang pembayaran wang gara-gara persembahan tidak mendapat sambutan," katanya.
Produksi yang dimaksudkan itu termasuklah Keno Production yang mementaskan Semerah Padi pada 2011 dan Creative Partnership Sdn. Bhd. (Terima Kasih Cinta) juga pada tahun sama.
"Apa yang berlaku tahun ini sebenarnya pernah berlaku pada dua tahun lepas. Tahun lepas juga, kami pernah berehat tanpa program selama sebulan. Sebab itulah Istana Budaya kena ada pelan B. Macam penganjuran Konsert Gegar 5 Legenda yang diterbitkan bagi menggantikan Muzikal Ombak Rindu. Sesuatu agak mengejutkan juga apabila konsert lima vokalis handalan itu mendapat sambutan hangat daripada penonton.
"Untuk tiga malam persembahan, Konsert Gegar 5 Legenda berjaya mencatat kutipan tiket sebanyak RM160,000. Itu satu kejayaan memandangkan tiket konsert tidaklah mahal," katanya.
JUHARI SHAARANI


Konsert bertakhta
Bercerita lanjut memikirkan kelestarian program-program eksklusif untuk tahun ini, Juhari tidak menyangkal bahawa program berbentuk konsert ternyata mempunyai pengikut dan tarikan yang hebat.
"Kami jarang berdepan masalah membabitkan penganjuran konsert. Jualan tiket juga tidak mendatangkan sebarang masalah. Dalam jadual Istana Budaya sekarang ada tiga buah konsert besar menunggu termasuklah Wings, Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir," jelas Juhari sambil mengimbau semula penjualan tiket untuk sebuah konsert Datuk Siti Nurhaliza yang habis hanya dalam tempoh dua hari sahaja.
Untuk Rockestra Wings yang akan dipentaskan pada selama empat hari mulai 26 April nanti, tiket-tiket bermula daripada harga RM66 masih dijual. Biarpun tiada penajaan daripada mana-mana syarikat gergasi namun konsert itu masih berkemampuan menjanjikan yang terbaik untuk peminat rock tanah air. Selain anggota Wings yang terdiri daripada Awie, Joe, Black dan Eddie, kali ini Wings turut menampilkan dua gitaris handalan iaitu Ian Antono dari Indonesia dan Hillary Ang sebagai pemuzik undangan.
Lega namun dalam masa, Juhari sebenarnya bimbang. Dia tidak mahu Istana Budaya dilihat lebih berjaya sebagai pentas untuk konsert semata-mata. Harapannya, kecintaan produksi teater untuk kembali mementaskan sebuah karya besar di Istana Budaya akan kembali pulih menjelang selesai pilihan raya akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: