Friday, March 29, 2013

Maskara bukan Desperate Housewife

DARI kiri: Anzalna, Lisa Surihani, Adrea Abdullah dan Nasha Aziz menjadi tunjang utama drama Maskara.


SELEPAS kali terakhir mengarahkan drama bersiri Dottie tiga tahun lalu, pengarah drama Maskara, Nizam Zakaria kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi drama komedi ringan, Maskara.
Maskara mengisahkan kehidupan empat wanita daripada pelbagai peringkat usia bernama Lynn (Lisa Surihani), Liza (Nasha Aziz), Hani (Anzalna Nasir) dan Sue (Adrea Abdullah) dalam mengharungi kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur.
Berlakon bersama pelakon senior seperti Nasha Aziz yang telah banyak melakar kejayaan, kata Lisa, ia memberikan pengalaman baharu kepadanya.
"Tambah teruja sebenarnya apabila dapat berlakon bersama Nasha. Dia mempunyai cara tersendiri dan dia telah mengkaji karakter pelakon lain sebelum masuk ke dalam set," ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar pelancaran drama Maskara di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, menurut Nizam, Maskara mengetengahkan elemen mockumentary (penceritaan ala dokumentari di luar realiti selepas sesuatu kejadian berlaku) dan pada masa sama menyampaikan mesej dalam mengangkat martabat golongan wanita.
"Proses sebelum penggambaran drama ini mengambil masa lebih setahun untuk saya mengolah skrip, jalan cerita, memilih warna serta konsep. Seperti karya saya sebelum ini, saya lebih menitikberatkan elemen pengarahan seni," kata Nizam.
Tegasnya, drama tersebut tidak meniru drama bersiri popular Amerika Syarikat, Desperate Housewife biar pun intipati dan subjek yang ingin ditonjolkan dilihat seakan-akan sama.
"Konsep mockumentary yang digunakan langsung tidak sama seperti Desperate Housewife, cuma momen dan subjek yang digunakan hampir sama kerana ia adalah satu genre.
"Maskara tidak meniru Desperate Housewife. Genre ini juga banyak digunakan dalam drama atau filem di Barat sama seperti cerita adiwira dan seram, cuma olahannya saja yang membezakan setiap cerita," ujarnya.
Drama terbitan KRU Studios itu memberikan hak penyiaran eksklusif secara digital bersama Maxis, Digi dan khususnya pengguna telefon pintar iPhone.
Maskara akan bersiaran secara rasmi di slot Arca pukul 10 malam di saluran RTM1 setiap hari Khamis dan Jumaat bermula April ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: