Wednesday, February 27, 2013

Fiq belum terkubur

JUARA Mentor 2 ini dalam rangka mempromosi single berjudul, Setia Hujung Nyawa.


JUARA rancangan realiti nyanyian Mentor 2, Fiq atau nama sebenarnya Mohd. Firdaus Abdul Halim bagaikan sudah hilang daripada dunia seni.
Perkembangan karier penyanyi kelahiran Sabah itu dilihat tenggelam timbul selepas syarikat rakaman EMI Malaysia gulung tikar beberapa tahun lalu impaknya, Fiq seolah-olah merajuk daripada industri.
Sebelum ini timbul dakwaan bahawa Fiq mempunyai pelbagai masalah disiplin termasuklah menolak pertunjukan pentas atas alasan tidak munasabah serta menolak sesi fotografi.
Menjelaskan situasi sebenar yang berlaku, kata Fiq, dia sedang mencari peluang untuk muncul kembali setelah sekian lama menyepi.
"Mungkin saya kelihatan senyap depan mata tetapi sebenarnya saya sibuk dengan undangan persembahan dan kerja belakang tabir.
Saya baru merakamkan beberapa buah single untuk album saya akan datang baru-baru ini.
"Album ini sedikit tertangguh kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan satu persatu dan saya mahu album ini betul-betul sempurna," katanya yang ditemui ketika sesi tayangan perdana khas konsert Led Zeppelin di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kahwin
Ditanya adakah dia merajuk dengan industri seni suara yang dilihat meminggirkannya sejak akhir-akhir ini, ujar anak didik bintang legenda rock Amy Search itu, dia masih terlalu muda untuk dilupakan.
"Peminat sentiasa ada bersama saya, tidak pernah ada istilah merajuk atau memilih untuk berdiam diri. Saya menceburi bidang nyanyian kerana minat jadi, jika keputusan itu saya pilih lebih baik dari awal lagi saya berhenti menyanyi," ujarnya yang kini bernaung di bawah label syarikat rakaman Warner Music Malaysia.
Selain itu, Fiq menolak dakwaan bahawa dia kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan malah katanya dia belum mempunyai calon yang sesuai.
"Saya belum ada sebarang perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, usahkan merancang, calon pun belum ada," jelasnya.
Fiq kini dalam proses mempromosikan single terbaharu nyanyiannya menerusi drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang menggunakan judul sama serta usai merakamkan single Balistik Cinta untuk dimuatkan dalam filem Balistik terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.
Mengakui turut terkena tempias populariti drama Setia Hujung Nyawa yang telah berjaya mencatat tontonan 4.2 juta, kata Fiq, lagu yang dinyanyikannya berjaya kembali mencuri tumpuan umum.
"Drama itu sangat memberi kesan kepada saya dan banyak membantu menaikkan kembali karier saya. Walaupun lagu itu dimainkan selepas beberapa episod bersiaran di TV, penonton yang meminati drama itu turut meminati saya," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: