Tuesday, February 26, 2013

FFM25: 3,000 Bakal Tonton Tayangan Filem Percuma

Ombak Rindu antara filem yang akan ditayangkan.
PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menyasarkan lebih 3,000 penonton bakal memenuhi pawagam bagi menyaksikan tayangan filem perdana dan percuma sempena Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) bermula Rabu sehingga hingga 2 Mac depan.
Sebanyak 29 buah filem terbaik tahun lalu akan ditayangkan semula melalui tiga buah pawagam terpilih iaitu di Cathay Cineplax, Damansara, GSC Alamanda, Putrajaya dan TGV Cinemas, KLCC.
Pengarah Penyelidikan Jawatankuasa Tayangan Umum dan Tayangan Perdana FFM25, Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya yakin sambutan kali ini lebih baik berbanding penganjuran pada tahun lalu.
"Kita sasarkan lebih 3,000 orang akan datang menyaksikan tayangan percuma kali ini kerana filem-filem yang dipilih adalah antara filem terbaik yang berjaya mendapat kutipan tinggi.
"Lebih menarik kali ini kita akan membuat lebih banyak tayangan di setiap pawagam," katanya ketika dihubungi mStar Onlinedi sini pada Isnin.
Jadual tayangan perdana dan tayangan percuma FFM25.
Dalam pada itu, filem terbaharu Rock OO terbitan Grand Briliance dan Naga AVXS Sdn Bhd akan ditayangkan pada tayangan perdana Majlis Perasmian FFM25 yang akan berlangsung pada Rabu.
Sementara itu, Zulkifli berkata ramai artis popular dalam beberapa filem yang akan ditayangkan turut terlibat dalam memberi sokongan terhadap tayangan filem percuma ini.
"Beberapa orang artis dari filem-filem yang akan ditayangkan akan datang pada tayangan perdana termasuk pelakon filem Rock OO.
"Kita juga dalam usaha untuk mendapatkan mereka untuk sama-sama hadir dalam beberapa tayangan filem percuma di beberapa pawagam yang mengambil bahagian," katanya.
Tiket-tiket untuk menyaksikan tayangan percuma sudah diedarkan pada Isnin di kaunter tiga pawagam tersebut atau boleh mendapatkannya sendiri di Finas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: