Wednesday, February 27, 2013

Banjir di Terengganu kian buruk


SEBAHAGIAN penduduk Kampung Baru mula dipindahkan menggunakan bot ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kamil, Pasir Puteh selepas kampung mereka dilanda banjir semalam.


KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 758 orang daripada 243 keluarga berbanding sembilan daripada tiga keluarga kelmarin.
Selain Terengganu, Kelantan turut dilanda gelombang ketiga banjir apabila 456 mangsa daripada 103 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan semalam selain menyaksikan dua remaja mati lemas selepas bot yang mereka naiki terbalik di sebuah kolam terbiar di Machang.
Di Kuala Terengganu, banjir menyebabkan empat sekolah di Setiu, empat di Hulu Terengganu dan sebuah di Besut ditutup.
Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara memaklumkan, sehingga pukul 6.30 petang, 15 pusat pemindahan telah dibuka.
Di Besut, 160 mangsa daripada 55 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan, 132 mangsa di lima pusat pemindahan di Setiu, 339 mangsa dipindahkan ke dua pusat pemindahan di Dungun dan 127 mangsa di Hulu Terengganu.
Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin memberitahu, empat sekolah di Setiu terpaksa ditutup iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buluh, SK Kampung Besut, SK Kampung Las dan SK Kampung Bukit.
"Di Hulu Terengganu, sekolah yang ditutup ialah SK Padang Setebu, SK Bukit Tadok, SK Sungai Berua dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jenderis sementara di Besut sekolah terlibat ialah SK Kampung La," katanya.
Di Kota Bharu, pula penduduk di jajahan Kuala Krai paling terjejas apabila 236 orang daripada 53 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan manakala di Tanah Merah, 111 mangsa daripada 26 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.
Portal e-banjir Kelantan melaporkan, dua sungai utama mencatat bacaan aras air melebihi paras bahaya dengan Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan 9.95 meter berbanding lima meter paras normal dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard pada bacaan 17.15 meter berbanding 10 meter paras normal.
Selain itu, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Tangga Krai merekodkan bacaan melebihi paras amaran manakala Sungai Galas di Dabong, Sungai Golok di Jenob dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja melebihi paras berjaga-jaga.
Dalam pada itu, dua jalan ditutup kepada semua kenderaan ringan iaitu Kilometer 8, Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu berhampiran Kampung Reka dan Kilometer 6, Jalan Tanah Merah-Kusial berhampiran Kampung Ipoh.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Che Gayah Ismail berkata, tiupan angin timuran yang kencang dari barat Pasifik telah tertumpu di kawasan timur dan utara Semenanjung menyebabkan pembentukan kelompok awan hujan besar.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengeluarkan amaran peringkat Jingga iaitu hujan sekejap-sekejap dan kadang-kadang sederhana lebat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: