Friday, February 22, 2013

Ammar Alfian Kesal Putus Cinta Puteri Sarah

Ammar Alfian
KUALA LUMPUR: Pelakon dan model Ammar Alfian Aziz diselubungi rasa kesal kerana sifatnya yang tidak menghargai Puteri Sarah menyebabkan terjadinya perpisahan selepas lima tahun mereka bercinta.
Pemilik nama penuh Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 26, ini berkata, dia terpaksa memutuskan hubungan wanita itu pada November tahun lalu kerana mereka sudah tidak mempunyai keserasian untuk bersama lagi.
"Sebenarnya setiap hari timbul rasa kesal dengan perpisahan kami tetapi hendak buat macam mana sebab kami sudah tidak serasi lagi.
"Perpisahan itu berpunca daripada kesilapan saya yang tidak pandai menghargai hatinya ketika bersama dulu," luahnya kepada mStar Online pada petang Khamis.
Desas-desus keretakan hubungan pasangan itu mula diperkatakan sejak sebulan lalu apabila Ammar keluar bersama wanita lain.
Menjawab dakwaan itu, Ammar berkata, ia adalah tuduhan yang tidak benar kerana dia masih belum menemui pengganti selepas berpisah dengan Sarah.
"Sepanjang lima tahun hubungan kami, memang ramai yang dengki dengan memburuk-burukkan nama saya kepada Sarah.
Saat indah Ammar dan Puteri Sarah.
"Apabila terlalu banyak fitnah kononnya saya curang disampaikan kepada Sarah, lama-kelamaan dia menjadi tawar hati.
"Walaupun saya sudah berusaha untuk meyakinkannya bahawa itu hanya fitnah tetapi ia sukar untuk memulihkan persepsinya kepada saya," katanya yang mengakui Sarah sudah mempunyai kekasih baharu.
Ammar berkata, dia mengambil pendekatan untuk merahsiakan keretakan hubungan mereka kerana tidak mahu menjejaskan nama Sarah yang kembali meningkat naik.
"Banyak saya belajar daripada kontroversi sebelum ini jadi saya tidak mahu cakap banyak sekarang.
"Biarlah saya fokus pada kerja dan mengembalikan kepercayaan industri dan media menerusi kerja saya," katanya yang bakal muncul sebagai hos program dokumentari Lambaian Pulau di TV2 tidak lama lagi.
Ammar sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila dia dikatakan telah mengugut untuk membunuh wartawan hiburan menerusi Facebook miliknya kerana dikritik berhubung sikap panas baran serta hubungannya dengan Puteri Sarah.
Bagaimanapun selepas isu itu tercetus, Ammar telah membuat permohonan maaf secara terbuka pada 13 Mac 2010 dalam satu majlis anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: