Monday, January 28, 2013

Tumpuan Rahmat (Mega) Pada Perniagaan

Rahmat kini lebih memberikan tumpuan kepada dunia perniagaan jualan langsung yang dijalankannya sejak tahun 1999 selain turut terlibat sebagai penceraman motivasi dan perunding.
PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Mega, Rahmat memberitahu tumpuannya kini lebih kepada perniagaan jualan langsung yang telah diusahakan hampir sepuluh tahun lalu dan menjadikan nyanyian sebagai kerjaya sampingannya.
Rahmat atau nama sebenarnya, Rahmat Tohak, 44, bagaimanapun berkata, walaupun telah lama tidak menghasilkan album baru atau muncul dikhalayak ramai namun masih ada menerima undangan nyanyian pentas atau pun acara tertutup.
"sebenarnya saya tidak pernah tinggalkan dunia nyanyian kerana undangan sentiasa ada tetapi tumpuan utama saya kini adalah kepada perniagaan yang saya lakukan sejak tahun 1999.
"Bidang nyanyian saya lakukan jika bersesuaian dengan jadual saya yang sangat padat kerana sering ke luar kawasan," jelasnya kepada mStar Online.
Rahmat juga menyangkal dakwaan dia merajuk dengan industri muzik tempatan sebaliknya berkata, kesuntukan masa menguruskan perniagaan telah membataskan aktiviti seninya.
Rahmat bakal muncul di pentas Panggung Sari, Istana Budaya untuk Konsert Gegar 5 Lagenda bersama Zamani, Saleem, Ali (Terra Rossa) dan Aris Ariwatan pada 15 hingga 17 Mac depan.
Dalam pada itu, Rahmat berkata, dia ada merancang untuk menghasilkan album terbaru dan setakat ini telah merakamkan lima buah lagu termasuk sebuah lagu duet bersama penyanyi dari Indonesia, Erin.
Bagaimanapun kata Rahmat, kesibukannya menguruskan perniagaan telah melambatkan sedikit proses rakaman album itu dan berharap dapat dipasarkan pada tahun ini juga.
"Saya mula merakamkan lagu untuk album itu sejak tahun lalu dan proses dilakukan secara perlahan kerana perlu mengikut jadual saya yang agak padat.
"Namun Alhamdulillah saya berjaya menyelesaikan proses itu dan sekarang sedang dalam peringkat akhir sebelum ia dipasarkan," ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai rahsianya menjaga penampilan dan mengekalkan kemantapan vokalnya, Rahmat memberitahu dia akan memastikan akan mempunyai masa terluang untuk bersenam dan berenang sebagai rutin hariannya.
"Selain senaman dan berenang saya juga tidak merokok dan menjalani gaya kehidupan sihat. Itu mungkin antara petua saya kekal awet muda," ujarnya yang juga perunding dan penceramah motivasi.
Dalam perkembangan lain, Rahmat bakal muncul di pentas Panggung Sari, Istana Budaya untuk Konsert Gegar 5 Lagenda bersama Zamani, Saleem, Ali (Terra Rossa) dan Aris Ariwatan pada 15 hingga 17 Mac 2013.
Tiket-tiket dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250.
Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi 03-4026 5508 atau 03-4026 5558 atau layari www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: