Monday, January 28, 2013

Tohmahan mencuri gagal jejaskan Awal, Scha



KETIKA menemui pasangan selebriti suami isteri ini pada majlis Cabaran Switch For Xtra anjuran Petronas di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya kelihatan seperti masih dalam dalam fasa berbulan madu.
Sedangkan mereka sebenarnya sudah enam bulan bergelar suami isteri sejak 4 Mei tahun lalu.
Tidak gusar dengan keadaan sekeliling yang pernah menuduh mereka panjang tangan dalam sebuah majlis pembukaan gedung pakaian terkemuka pada tahun lepas, kedua-dua Awal dan Scha menyatakan perkara itu tidak sedikit pun menutup periuk nasi mereka.
Malah, mereka bersyukur apabila rezeki masing-masing semakin mencurah-curah sejak berkahwin.
Kata Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, sejak kontroversi berkenaan melanda mereka berdua, tawaran mengacarakan majlis tetap banyak diterimanya.
Malah, syarikat pengurusan majlis yang sama dengan gedung pakaian terkemuka yang telah menyebabkan isu mencuri itu timbul masih menjemput mereka untuk ke acara tertentu.
"Selepas kontroversi itu berlaku, saya dan Scha masih dijemput oleh syarikat yang sama tetapi kami tidak pergi sebab sudah berasa jauh hati," ujarnya yang menyertai Cabaran Switch For Xtra bersama Scha, Faizal Ismail dan Hanis Zalikha.
Tambahnya, dia yakin dirinya dan Scha berada pada pihak yang benar kerana mereka tidak pernah membuat sebarang kesalahan.
Sehingga sekarang ini, Awal dan Scha masih memikirkan bagaimana kontroversi berkenaan boleh dikaitkan dengan diri mereka.
"Saya bersyukur sangat, selepas berkahwin dan dilanda kontroversi itu, rezeki saya semakin banyak," katanya.

CERIA. Pasangan yang kelihatan seperti masih dalam fasa berbulan madu ini mengakui teringin segera mempunyai zuriat bersama.


"Kontrak sebagai pengacara program Melodi juga disambung setahun lagi dan program, Awal Lagi pula akan masuk musim kedua pada bulan April nanti," ujarnya.
Awal memberitahu, tidak ada mana-mana syarikat atau individu yang bekerja dengan mereka membatalkan kerjasama yang telah dirancangkan disebabkan isu mencuri itu, sebaliknya kontroversi berkenaan dijadikan bahan jenaka.
"Semasa program Melodi, Zizan (Zizan Razak) pernah menegur baju saya lawa. Saya cakap, saya curi baju berkenaan, kami semua tergelak," ujarnya.
Perkara yang sama turut diakui oleh isteri Awal yang juga pengacara dan pelakon, Scha, 30, apabila isu mencuri turut menjadi bahan jenaka tatkala dia menghadiri sesuatu majlis.
"Ketika hadir pada satu majlis, teman wartawan ada membuat lawak suruh saya curi barang di tempat itu. Jadi, setakat ini ia hanya jadi gurauan dan tidak pernah diambil serius oleh sesiapa pun," ujarnya.
Namun pemilik nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al- Yahya ini menjelaskan, ketika awal kontroversi itu berlaku, dia mengakui cukup tertekan. Ini kerana melibatkan soal maruah dirinya dan Awal.
"Saya tidak pernah mencuri, demi Allah saya tidak pernah buat benda itu, saya tidak faham macam mana benda-benda itu boleh dikaitkan dengan nama kami," katanya yang berharap tahun baharu ini tidak timbul lagi isu berkenaan.
Mengakui periuk nasinya juga tidak pernah terjejas, Scha bersyukur kerana masih menerima tawaran berlakon drama dan telemovie yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Anak
Selesai bercerita mengenai kelangsungan hidup mereka selepas dilanda kontroversi dituduh mencuri, Awal dan Scha menyatakan jauh di sudut hati, mereka teringin untuk menimang cahaya mata.
Namun, disebabkan nasihat beberapa temannya supaya tidak terlalu tertekan dan mengharap untuk mendapatkan anak, Awal dan Scha lebih memilih pendekatan untuk tidak merancang.
"Kami tidak rancang apa-apa kalau ada rezeki ada, setakat ini saya jaga pemakanan dan gaya hidup sihat," ujar Scha.
AWAL dan Scha menerima dengan terbuka segala tohmahan yang dilemparkan kepada mereka.


Tambahnya, beberapa temannya ada memberikan nasihat agar tidak terlalu mengharap agar kehamilan itu berlaku secara semulajadi.
"Kata mereka, kalau kami tertekan hendak anak sangat nanti tidak jadi pula akan beri kesan kepada kesuburan kami, jadi kami memilih untuk bergembira dan menikmati kehidupan kami berdua dulu," jelasnya yang tidak kisah memiliki badan gemuk apabila mengandung kelak.
Bagi Awal pula, dalam hatinya memang teringin untuk memiliki anak tetapi selagi belum ada rezeki mereka berdua akan membuat aktiviti yang disukai mereka.
"Kalau hendak pergi melancong atau ke mana-mana kami akan buat sekarang, nanti bila sudah ada bayi susah pula hendak buat," ujarnya yang menganggap Allah sudah menentukan masa yang tepat untuk mereka mempunyai anak nanti.
Scha pula menambah, walaupun masih dalam fasa pengantin baharu, dia sentiasa berdoa agar dapat mempunyai anak sendiri seperti rakan artisnya yang berkahwin pada tahun yang sama dengan mereka seperti pasangan Diana Danielle dan Farid Kamil.
Berlakon
Bercerita mengenai kerjaya mereka pula, Awal memberitahu, bahawa dirinya masih lagi mencintai dunia lakonan dan dia tidak pernah berhenti dalam bidang itu walaupun kini kelibatnya jarang-jarang dilihat dalam drama atau filem.
ISU Scha dan Awal yang dituduh mencuri kini tinggal menjadi bahan jenaka sahaja.


"Sebelum ini sibuk dengan persiapan perkahwinan, menjadi pengacara dan sebagainya, jadi saya banyak tolak tawaran berlakon, saya tidak pernah lupa bidang itu sebenarnya," jelasnya yang bakal muncul dalam telemovie baharu, Syurga Seorang Isteri pada 2 Februari nanti.
Kata Awal, tahun ini dia akan cuba untuk mengimbangi kembali kerjaya pengacaraan dengan lakonan agar tidak disalah anggap bahawa dirinya sudah melupakan kerjaya berkenaan.
"Ramai yang anggap saya sudah berhenti berlakon, jadi tawaran pun sudah kurang, tahun ini saya akan bahagikan masa untuk kedua-dua bidang itu agar ia selari," ujarnya.
Tambahnya, selepas ini dia akan memulakan penggambaran drama bersiri, 24 episod untuk slot Akasia di TV3 dan mengharapkan pengarah dan penerbit tidak salah anggap bahawa dirinya sudah berhenti berlakon.
Bagi Scha pula, dia sekarang sedang giat mempromosikan filem terbaharunya, Awan Dania The Movie yang bakal ditayangkan pada bulan Mac nanti dan bakal memasuki set penggambaran untuk beberapa telemovie dan drama baharu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: