Wednesday, January 30, 2013

Polis selamatkan seorang lagi budak dijual sindiket


TIGA suspek termasuk dua wanita disambung reman di Mahkamah Majistret Butterworth semalam.


GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dibeli menerusi sindiket penjualan bayi selepas menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di kawasan Butterworth dekat sini semalam.
Pasangan berusia 50-an itu merupakan pembeli dan juga ibu bapa angkat kepada kanak-kanak terbabit. Mereka ditahan pada pukul 3 pagi oleh pasukan polis yang ditubuh bagi menyiasat sindiket jual bayi di negeri ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, setakat ini jumlah keseluruhan tangkapan suspek yang terlibat dalam sindiket yang didalangi seorang wanita tempatan itu seramai 36 orang.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 22 orang diberi jaminan mahkamah mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah iaitu dikehendaki hadir sebagai saksi dalam perbicaraan di mahkamah kelak.
“Kita sedang mengenal pasti jika ada lagi bayi dan kanak-kanak yang dijual oleh sindiket berkenaan.
“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kegiatan sindiket tersebut,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini.
Dalam pada itu, Abdul Rahim memberitahu, polis telah mendapat perintah mahkamah melanjutkan reman sehingga 1 Februari ini ke atas tiga suspek termasuk dua wanita yang ditangkap dalam beberapa siri serbuan sejak Disember lalu.
Menurut beliau, kertas siasatan akan dimajukan segera kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk mendapatkan arahan lanjut dalam tempoh terdekat termasuk lima individu yang telah dituduh di mahkamah sebelum ini.
Ketika ini kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan diarahkan oleh mahkamah supaya ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: