Kumpulan kongsi gelap tumpas
Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut.
Kumpulan kongsi gelap tumpas
Faizal (kanan) menunjukkan barangan rampasan termasuk pedang samurai.
Kumpulan kongsi gelap tumpas
Pil khayal inilah yang cuba dibuang oleh suspek tetapi gagal.
Kumpulan kongsi gelap tumpas
Pemetik api yang menyamai pistol dan gari turut dirampas.
Kumpulan kongsi gelap tumpas
Kereta wira ini dipercayai merupakan kenderaan curi.
KULIM - Polis dari Cawangan Task Force, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD) diketuai Inspektor Nor Faizal Mohamad berjaya menahan sindiket mencuri kereta, pengedaran dadah, kegiatan ah long dan kumpulan kongsi gelap yang aktif di kawasan Taman Selasih semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, Task Force telah mengekori kumpulan itu sejak tiga bulan lalu sebelum membuat serbuan.

Menurutnya, polis membuat serbuan kira-kira jam 2 petang dan kesemua ahli kumpulan itu didapati berada dalam rumah.

Ketika serbuan dijalankan, dua suspek cuba melarikan diri melalui pintu belakang bagaimanapun mereka berjaya ditahan.

"Dari pemeriksaan dijalankan, polis menemui pelbagai senjata tajam seperti pedang samurai selain pencucuh api rokok yang menyerupai pistol asal dan dua gari. Selain itu beberapa kad pengenalan wanita turut ditemui di dalam rumah itu. Polis percaya ia di miliki mangsa ragut atau samun.

“Polis menemui ratusan pil khayal di dalam bilik, serbuk putih dipercayai dadah, ketulan kristal dipercayai syabu dan kepingan daun kering dipercayai ganja. Kesemua barangan ini ditemui dibungkus dalam beberapa plastik lut sinar. Polis turut menemui lebih enam peralatan menghisap dadah yang diperbuat dari kaca.

"Ketika serbuan dibuat salah seorang suspek cuba membuang pil khayal ke dalam lubang tandas bagaimanapun tindakannya itu berjaya dihalang polis," katanya.

Ghuzlan berkata,  tiga lelaki berusia 30-an berjaya ditahan. Pihaknya juga mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod lampau dan dikehendaki polis.

Selain menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Kulim, kumpulan itu turut terlibat dalam kegiatan mencuri kereta.

"Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis dapat menyelesaikan lebih sembilan kes curi kereta di mana kereta proton wira berwarna kuning yang berada di luar rumah juga didapati kereta curi.

"Ia sudah diubah suai dan nombor casis telah dipadamkan. Kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke IPD Kulim untuk sisatan lanjut," katanya.