Monday, January 28, 2013

Gabungan Asia Barat dan Eropah



RINGKAS dan biasa sahaja. Dua pandangan awal yang dilontarkan kebanyakan orang apabila pertama kali melihat koleksi pakaian muslimah Habibi by Alkenali. Selepas diamati dengan terperinci atau menyarungkannya pada tubuh, perspektif anda pasti berubah kerana jubah Habibi by Alkenali merupakan rekaan istimewa yang jarang ditemui di pasaran.
Menekankan konsep gabungan Arab dan Eropah, sentimen Islam dan Inggeris bersatu dalam setiap persalinan Habibi. Meskipun mengangkat elemen luar negara, setiap rekaan disesuaikan dengan suasana negara terutama dari segi pemilihan fabrik.
Jubah labuh atau singkat dan jaket kolar lebar menjadi antara item panas jenama itu. Pakaian Habibi by Alkenali sesuai digayakan untuk acara santai, keluar berhibur atau ketika menghadiri majlis formal.
“Alhamdulillah, sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, Habibi telah berjaya menarik kelompok pengikut yang tersendiri. Kami sasarkan kepada pelanggan wanita berumur 18 hingga 60 tahun dan berkerjaya.
“Keistimewaan kami terletak pada saiz yang ditawarkan. Ia bermula daripada saiz kecil (36) sehingga yang paling besar (52). Selain itu, Habibi turut menyediakan koleksi untuk remaja wanita yang dinamakan Habibi Teen.

NAZRAH menunjukkan antara jubah Habibi yang mendapat sambutan ramai.


“Antara pakaian Habibi yang kerap menjadi pilihan wanita Malaysia ialah jubah dan 3Q, blaus paras lutut yang diperbuat daripada kapas dan denim. Pelanggan dari Singapura dan Brunei pula lebih menggemari koleksi daripada material kapas poliester,” jelas Pengurus Besar Alkenali Trade Sdn. Bhd. dan pemilik Butik Habibi, Nazrah Noor Rahmat, 28.
Permulaan Habibi
Pengalaman merantau ke United Kingdom, Perancis, Syria dan Jordan mewujudkan ilham kepada Nazrah untuk menceburi bisnes pakaian muslimah. Wanita yang berasal dari Johor itu juga pada awalnya bercadang untuk membantu mengembangkan cabang perniagaan suaminya, Ahmad Hafeedzullah Wan Lah.
Bekas wartawan penyiaran dan pengacara program Al-Hidayah stesen TV3 itu kemudiannya nekad melepaskan kerjayanya itu demi memberi fokus kepada jenama pakaian yang diusahakan sendiri.
Tanpa pengalaman perniagaan, Nazrah mengambil risiko memperkenalkan jenama Habibi menerusi internet. Setiap pakaian dijual secara talian dan apabila semakin mendapat sambutan, dia yang turut dibantu suami terus membuka kedai kecil di Gombak, Selangor.
Kini, jenama Habibi semakin kukuh dan dikenali ramai. Nazrah membuat keputusan membuka butik yang diidam-idamkan selama ini di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
“Setiap rekaan Habibi merupakan gabungan idea saya dan suami. Kami juga mempunyai pasukan pereka yang turut menyumbangkan idea bagi koleksi pakaian Habibi. Kami juga menggalakkan para peniaga atau mereka yang baru memulakan perniagaan untuk menjadi pengedar Habibi,” ujar Nazrah.



Menyentuh soal penggunaan material, koleksi Habibi Elegant yang merangkumi jubah dan 3Q banyak menggunakan fabrik kapas, denim dan kapas poliester. Tambah Nazrah, material dipilih berdasarkan rekaan tetapi paling penting ia perlu menepati keselesaan muslimah di Malaysia.
Selain jubah dan blaus, Habibi juga menawarkan kardigan, dres dalam (inner), skirt, selendang dalam dan rangkaian tudung yang menawan. Kebanyakan item tersebut dihasilkan daripada kapas, sifon dan rayon.
Aurat dan fesyen
Konsep asal Habibi yang diinspirasikan daripada gabungan Asia Barat dan Eropah menjadikan ia pakaian moden yang menjaga aurat wanita.
Labuh, sopan dan tidak jarang menjadi pegangan rekaan Habibi. Sehubungan itu, Habibi menyediakan pelbagai saiz agar semua individu dengan bentuk badan yang berbeza dapat bergaya dalam persalinan Habibi.
Junjungan besar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, iaitu al-Quran dan sunnah. Jika kamu berpegang kepada dua hal tersebut, maka tidak akan tersesat selama-lamanya.”
“Berdasarkan sabda tersebut, saya berpendapat bahawa sebagai seorang muslimah, panduan itulah yang wajar diikuti. Setiap perkara yang kita lakukan termasuklah berpakaian perlulah berpandukan perintah Allah dan pesan Nabi.

WALAUPUN hamil enam bulan Natasha tetap anggun dalam jubah paras betis ini.


“Pemodenan dan globalisasi telah menawarkan pelbagai jenis fesyen khususnya buat golongan wanita. Namun, ia tidak bermaksud kita boleh membelakangkan apa yang dituntut agama.
“Menjadi seorang muslimah moden, perlu bijak dalam berpakaian. Jadi, kita perlu membezakan gaya yang sesuai sebagai seorang muslimah.
“Patuhilah garis panduan yang telah digariskan Islam dan anda pasti selamat di dunia dan Insya-Allah selamat di akhirat,” demikian pandangan yang dikongsi Nazrah. Beliau memberitahu bahawa pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus juga pernah membeli salah satu koleksi pakaian Habibi untuk anak perempuannya.
Nazrah turut memberitahu, menutup aurat adalah perkara wajib kerana ia merupakan perintah Allah dan telah dinyatakan dalam al-Quran. Apa sahaja fesyen yang digayakan perlu dipastikan agar aurat terjaga.
“Tidak salah untuk berfesyen kerana naluri manusia memang sukakan kecantikan. Bagaimanapun, jangan melepasi garis panduan yang telah ditetapkan syariat,” pesan Nazrah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: