Sunday, December 30, 2012

Sifat panas baran boleh panjangkan umur


MELUAHKAN kemarahan didakwa boleh menyihatkan jiwa serta memanjangkan usia.


TIDAK perlu ragu untuk melepaskan kemarahan dan emosi negatif yang bersarang dalam hati anda kerana tabiat tersebut bukan sahaja menyihatkan jiwa malah berupaya memanjangkan umur sehingga dua tahun.
Itu kesimpulan daripada penyelidikan psikologi yang dijalankan di Universiti Jena, Jerman baru-baru ini.
Menurut kaji selidik itu, tabiat orang Itali dan Sepanyol yang mudah marah dikatakan menjadi punca mengapa mereka mempunyai jangka hayat dua tahun lebih panjang berbanding warga Britain yang lebih tenang dan suka memendam.
Penyelidik terbabit, Marcus Mund dan Kristian Mitte mendapati, memendam perasaan dan menahan diri daripada meluahkan kemarahan boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental.
“Selepas mengkaji lebih daripada 6,000 pesakit, kami dapati orang yang memaksa diri untuk tenang sebenarnya akan lebih menderita.
“Jika tabiat ini dibiar berlarutan, keadaan tersebut boleh meningkatkan tekanan darah dan meletakkan diri mereka untuk berdepan dengan risiko penyakit jantung, kanser, gangguan ginjal dan sebagainya,” lapor Mund seperti yang dimuatkan dalam Jurnal Kesihatan Psikologi.
Tambahnya, golongan yang dikenali sebagai pemendam ini boleh dibezakan melalui cara mereka menyembunyikan rasa marah dan takut serta perlakuan yang lebih bersikap mempertahankan diri.
“Golongan pemendam perasaan suka menghindari risiko dan mencari kaedah untuk mengendalikan kemampuan diri dalam lingkungan yang boleh menjadikannya selesa.
“Bagaimanapun, cuba bersikap tenang dan bijak mengawal emosi bukanlah suatu tabiat yang buruk secara keseluruhannya. Walaupun golongan ini lebih mudah mendapat penyakit, mereka lebih cepat bangkit dan pulih kerana mempunyai motivasi dan disiplin diri yang tinggi,” kata Mund.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: