Sunday, December 30, 2012

Si penggemar animasi


SEBELUM ini, Khatijah pernah mengalami kerugian ratusan ribu ringgit kerana kegagalan perniagaannya.


SIFATNYA agak pemalu tetapi auranya terserlah sebaik sahaja diajak berbicara kerana ada sahaja celotehnya. Malah, pemilik nama Khatijah Abd. Rashid boleh mengukir senyum bangga kerana statusnya kini menjadi pemilik syarikat animasi Khalifa Production Sdn. Bhd. yang semakin dikenali.
Jarang wanita melibatkan diri dalam perniagaan animasi tetapi sentuhan Khatijah menerusi animasi Aqil Story semakin meniti di bibir kanak-kanak kerana ia sarat dengan unsur pengajaran dan Islamik.
Cerita wanita berasal dari Pekan, Pahang ini, minatnya dalam dunia animasi mula berputik sejak di sekolah rendah.
“Semasa di sekolah rendah, pelajar lain sibuk menumpukan perhatian apa yang guru ajarkan di kelas tetapi saya lukis kartun di buku latihan.
“Ibu saya di rumah hairan kerana buku latihan sekolah muka suratnya dipenuhi dengan kartun berbanding kerja sekolah.
“Dinding rumah habis comot saya conteng tetapi itu sebenarnya satu proses pembelajaran yang baik,” kata Khatijah sambil tersenyum.
Ujar ibu kepada seorang anak perempuan berumur dua tahun itu, kebiasaan itu dimaksimumkan sebaik dia menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang animasi dan internet di sebuah kolej swasta di ibu negara. Namun, di sebalik kejayaan ada kegagalan yang perlu ditempuhi.
“Saya pernah menghasilkan beberapa siri kartun animasi, dokumentari dan kaedah e-pembelajaran tetapi gagal sehingga mengalami kerugian ratusan ribu ringgit,” katanya.
Tutur Khatijah, kegagalan itu disebabkan kesukaran untuk menemui dan bekerjasama dengan individu yang mahir dengan aspek penghasilan kartun-kartun animasi.
Mujur, titik tolak kejayaannya bermula apabila menemui suaminya sehingga cetusan ideanya Aqil Story yang dapat dikomersialkan selain disiarkan di stesen televisyen.
Idea
Khatijah memberitahu, siri kartun animasinya itu mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan. Mengikut bahasa Arab, Aqil bermaksud bijaksana.
“Malah, jarang siri kartun animasi berbentuk Islamik ditonjolkan. Aqil Story bertujuan memberikan didikan spiritual kanak-kanak di peringkat awal dan bukan berkonsepkan hiburan semata-mata,” katanya.
Program 13 episod ini mula disiarkan pada hujung Ogos lalu, setiap Sabtu, pukul 5 petang di stesen televisyen Al-Hijrah.
Tambah Khatijah, siri kartun animasinya banyak menerapkan nilai-nilai kekeluargaan, persahabatan, kasih sayang, akhlak dan pengajaran yang positif diketengahkan.
Mengisahkan ragam seorang kanak-kanak yang menetap di Putrajaya, Aqil Story menggunakan khidmat suara adik Nurul Malisa Izzati, 12.
“Saya memaparkan konflik kehidupan kemudian disusuli dengan kaedah penyelesaian masalah supaya kanak-kanak yang menonton memahami mesej yang disampaikan.
“Jalan penyelesaian yang dipaparkan berdasarkan kisah-kisah tauladan yang terkandung dalam al-Quran dan hadis,” jelasnya.
Tutur Khatijah, setiap episod turut diselitkan ulasan dan nasihat oleh penceramah agama, Ustaz Amaluddin Mohd. Napiah.
“Antara amal Anak Adam apabila meninggal dunia kelak ialah ilmu yang bermanfaat,” katanya.
Dia juga bersyukur kerana terdapat kanak-kanak yang insaf serta mengikuti suruhan agama Islam selepas menonton kartun ciptaannya.
“Ada kanak-kanak lelaki yang bapanya menelefon saya mengatakan sebelum ini anaknya malas belajar mula rajin dan tekun menunaikan solat selepas menonton Aqil Story. Dia juga bersyukur kerana anaknya yang degil berubah menjadi baik,” katanya.
Selain itu, terdapat seorang remaja perempuan yang tidak memakai tudung berubah memakai hijab.
“Didikan bermula sejak anak-anak masih kecil dan salah satu mediumnya ialah kartun,” tegas Khatijah.
Wanita yang gemar memakai pakaian jubah ini juga bercadang untuk memperkenalkan maskot Aqil di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kami akan membuat pengisian ceramah dan mengajar cara-cara menunaikan solat,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: