Sunday, December 30, 2012

Semuanya kerana anak

PENGHARGAAN...Erra dan Hatta yang menerima Anugerah Pereka Popular ABPBH 2011 bergambar bersama pembaca bertuah, Pengarah Urusan Rafflesia, The Pearl Centre, Winnie Sin (blaus kuning) dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Shamshul Azree Samshir (kemeja kotak).
PENGHARGAAN...Erra dan Hatta yang menerima Anugerah Pereka Popular ABPBH 2011 bergambar bersama pembaca bertuah, Pengarah Urusan Rafflesia, The Pearl Centre, Winnie Sin (blaus kuning) dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Shamshul Azree Samshir (kemeja kotak).
DARIPADA segi fizikal jelas kelihatan susuk tubuh dan raut wajah Erra Fazira semakin kurus dan cengkung. Spekulasi timbul adakah dia mengalami tekanan hidup atau sedang berjuang dengan sesuatu yang cuba disembunyikan.
Apabila persoalan ini diajukan pada primadona filem Melayu zaman moden ini, dengan pantas dia menafikan berat badannya berubah dengan ketara. Sebaliknya, Erra memberi alasan mungkin tubuhnya nampak kurus kerana kesibukan kerja dalam bidang pengacaraan, lakonan mahupun nyanyian.
   
  • Foto Erra Fazira
  • Foto
  • Foto
  • Foto
“Betul ke saya nampak kurus? Rasanya tidaklah kerana berat badan saya masih sama seperti dulu. Mungkin sebab saya sibuk dengan kerja dan membesarkan anak saya, Aleesya yang masih kecil dan sangat memerlukan perhatian daripada saya sebagai ibunya.

“Sebagai artis yang pentingkan penampilan, saya memang tidak mahu nampak terlalu kurus di kaca televisyen. Apa yang penting, saya sihat walaupun orang nampak kurus,” katanya.

Bijak mengalih topik kepada kerjaya seni, pemilik nama sebenar Fazira Wan Chek, 38, yang mengikat kontrak sebagai Wajah Eksklusif Astro sehingga Mei 2013 mengakui dia semakin selesa sepanjang terbabit dalam musim pertama program Primadona yang membabitkan sebanyak 13 episod itu.

“Sebagai hos, saya perlu menyesuaikan diri dengan tiga lagi hos lain. Ada masanya saya perlu ‘cool down’ untuk beri peluang hos lain pula menonjol dalam program ini. Sebagai hos, kita perlu beri laluan dan hormati tetamu lain.

“Sebenarnya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mengacarakan program bersama empat hos sekali gus, tetapi secara perlahan-lahan kami semakin serasi antara satu sama lain. Memang tidak timbul siapa yang lebih hebat dalam program ini kerana setiap hos ada kekuatan, kelebihan dan tarikan tersendiri.

“Apapun, saya bersyukur program ini mendapat sambutan yang baik daripada penonton. Kami juga akan menjayakan musim kedua Primadona pada Januari nanti,” katanya.

Bukan saja hebat di pentas lakonan, penampilan julung kalinya sebagai hos dalam Primadona juga tidak menghampakan penonton. Malah, kemunculan aktres jelita ini dalam program bual bicara bertemakan slogan Bila Wanita Bicara itu sentiasa dinantikan peminat di saluran Astro Prima (saluran 105).

Walaupun bergandingan dengan tiga lagi nama besar dalam bidang hiburan tanah air, Rozita Che Wan, Ziela Jalil dan Raja Azura, kemunculan Erra tetap mencuri perhatian penonton apabila muncul di kaca televisyen. Itulah pesona dimiliki aktres hebat ini.

Erra mengakui tertarik mengacarakan Primadona kerana ia bercorak santai, menghiburkan tetapi tetap ada informasi yang disampaikan pada penonton.

“Saya tidak menafikan ada juga kami lari daripada topik yang dibincangkan, tapi kami cepat-cepat kembali semula pada topik asal sebelum penonton menyedarinya. Antara segmen yang menghiburkan ialah ketika bersama tetamu undangan iaitu pelawak AR Badul dan Zizan Raja Lawak.

“Segmen yang menyentuh hati ialah kasih ibu yang turut menyentuh emosi saya sendiri. Segmen ‘Shopaholic’ pula memberi maklumat mengenai destinasi beli-belah di mana ramai juga yang tidak tahu Malaysia adalah destinasi keempat membeli-belah yang terbaik di dunia,” katanya.

Primadona bersiaran setiap Jumaat jam 9 malam mulai 2 November lalu. Ternyata, program Primadona turut memberi impak yang besar pada penonton. Malah, Erra juga banyak menerima tawaran mengacara pelbagai program majlis dan program daripada pelbagai pihak di luar sana.

“Sebenarnya saya seorang yang pemalu. Bagi saya bidang lakonan dan pengacaraan memberi cabaran berbeza. Pada masa sama, pengacaraan adalah karier sampingan saja dan lakonan pula adalah periuk nasi saya,” katanya.

Erra ditemui di majlis penyampaian hadiah Pereka Fesyen Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 25 (ABPBH) di Rafflesia Pearl Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis ringkas itu, Erra yang tampil dengan rekaan Hatta Dolmat menjadi pilihan peminat untuk kategori Anugerah Pereka Popular ABPBH 2011. Erra dan Hatta turut menerima sebuah trofi dan barang kemas Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM10,000.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Urusan Rafflesia, The Pearl Centre, Winnie Sin dan Pengarang Hiburan Berita Harian, Shamshul Azree Samshir. Tidak ketinggalan, seramai 14 pemenang daripada kategori pembaca yang turut membawa pulang hadiah barang kemas bernilai RM5,000 hingga RM10,000.

Menyentuh karier nyanyiannya pula, kata Erra yang lebih lima tahun tanpa album baru, selepas singlenya Cinta Diam-Diam ciptaan Manusia Putih, dia akan muncul dengan single baru berduet dengan teman baiknya yang juga aktres, Datin Paduka Umie Aida.

“Sayangnya single Cinta Diam-Diam tidak mendapat tempat di stesen radio utama tempatan. Saya kecewa dengan apa yang berlaku, tetapi tetap muncul dengan single kedua yang menceritakan mengenai persahabatan yang judulnya belum ada lagi. Jika nak diikutkan jiwa saya memang rock dan bukannya lagu jiwang yang mendayu-dayu. Namun, saya perlu mengikut cita rasa peminat,” katanya.

Bagaimanapun, Erra masih mendapat undangan persembahan majlis makan malam walaupun sudah lama tidak beraksi di pentas sejak berumah tangga.

“Saya akui berasa gementar dan berdepan dengan tekanan apabila beraksi di pentas kerana sudah lama tidak buat persembahan. Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan bila buat persembahan iaitu pilihan lagu yang sesuai atau tidak dengan penonton dan pasukan penari pengiring dan sebagainya lagi.

“Bila kita sudah jarang membuat persembahan, ‘team’ penari yang dulu sudah membawa haluan sendiri,” katanya.


Erra tingkatkan prestasi

USAH diungkit lagi cerita rumah tangganya dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang didakwa bergolak, ketika ini. Bagi Erra yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, fokusnya buat masa ini untuk meningkatkan lagi prestasinya dalam cabang seni diceburi sama ada bidang lakonan, nyanyian mahupun pengacaraan.

“Sekarang bukan masanya lagi untuk saya kejar anugerah. Perancangan saya pada tahun baru ialah untuk memantapkan ketiga-tiga cabang seni diceburi. Selain itu, saya juga ingin lebih mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Kenangan paling manis sepanjang 2012 ialah karier seni berjalan dengan baik dan lancar dan saya masih ada ‘demand’ dalam industri. Maaflah, saya tidak ingin kongsi cerita pahit pada 2012 dengan peminat,” kata pelakon drama Mana Hilangnya Juwita dan Parut Asyikin ini.

Bercerita perkembangan anak sulungnya, Engku Aleesya pula, kata Erra, anak kesayangannya itu akan mencecah usia 4 tahun pada 2013.

“Sebagai ibu, saya ingin mendidik Aleesya sebaik mungkin. Saya akan membimbingnya ke jalan yang lebih baik. Namun, saya akan beri sokongan dan panduan padanya jika bidang seni juga yang dipilihnya apabila dewasa nanti. Emak saya pun ingin saya menjadi doktor dulu, tapi akhirnya saya tetap juga pilih bidang seni,” katanya.

Erra berkata, dia juga berasa risau kerana saiz badan Aleesya mempunyai potensi untuk menjadi obesiti jika tidak dikawal pemakanannya.

“Maklumlah, keluarga sebelah bapanya memang bersaiz besar dan tinggi. Aleesya juga mempunyai saiz tubuh yang memang besar untuk kanak-kanak seusianya. Aleesya juga suka makan nasi, tapi saya yang perlu mengawal pemakanannya sejak awal lagi.

“Selain itu, Aleesya juga akan meneruskan pembelajarannya di ‘Play School’ kerana dia memang seronok belajar di situ,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: