Paling pengotor, warga asing dikompaun buang sampah
Ops Anti Litter yang dijalankan DBKL menumpukan lokasi tumpuan warga asing.
KUALA LUMPUR - Warga asing lebih pengotor, itu rumusan statistik tindakan  Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Ops Anti Litter sepanjang tahun ini apabila golongan itu didapati penyumbang terbanyak kepada kesalahan membuang sampah termasuk meludah di tempat awam.

Buktinya, 70 peratus daripada 6,189 kompaun dikeluarkan DBKL, menerusi 161 operasi dijalankan, dikenakan ke atas warga asing, terdiri daripada Myanmar, Nepal, Bangladesh dan Indonesia.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Saufi Mohamad, berkata, operasi dilaksanakan DBKL menumpukan kawasan ‘kegemaran’ warga asing untuk berkumpul, khususnya ketika cuti umum.

Menurutnya, operasi dibuat setiap tiga kali seminggu di Jalan Silang (hadapan Mydin dan Kota Raya), Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Bukit Bintang, dan Jalan Pudu.

“Tindakan dibuat ke atas kesalahan membuang sampah  seperti puntung rokok, dan juga meludah di tempat awam. Kompaun sebanyak RM30 dikenakan serta merta.

“Sepanjang pemantauan dan tindakan yang dijalankan, kesalahan didapati banyak dilakukan oleh warga asing,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, terdapat juga tindakan yang dikenakan ke atas warga tempatan yang kurang kesedaran siviknya.

“Terdapat kes di mana, apabila penguatkuasa mengenakan kompaun kerana membuang puntung rokok, DBKL dikatakan sengaja mencari kesalahan mereka.

“DBKL memandang serius hal ini dalam usaha memastikan bandaraya Kuala Lumpur lebih bersih,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 3120 kompaun dikeluarkan sejak Januari hingga Disember 2012 bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam, dengan jumlah kutipan bayaran sebanyak RM195,278.
Manakala, bagi kesalahan meludah di tempat awam, sebanyak 3069 kompaun dikeluarkan dengan jumlah kutipan bayaran sebanyak RM150,450.

Kedua-dua kesalahan itu diperuntukkan di bawah 47(1) a Akta Jalan Parit dan Bangunan Bagi Kesalahan Membuang Sampah di Tempat Awam 1974, dan Undang-Undang Kecil Larangan Meludah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1991.