Friday, December 28, 2012

Mendaki untuk raikan kehidupan


PARA sukarelawan mengambil kesempatan bergambar di puncak Bukit Broga sebagai tanda mereka pernah menaklukinya.


KETIKA orang lain lena diulit mimpi, lebih 170 orang peserta sudah lengkap menyarungkan baju T berwarna kuning dan putih begitu teruja untuk memulakan pendakian menakluk Bukit Broga, Semenyih, Selangor seawal 6.30 pagi baru-baru ini.
Masing-masing membawa kain pengikat kepala berwarna kuning, biru dan hijau tertera nama-nama individu yang berlainan. Ada antara mereka yang membawa tiga nama yang diikat di kepala dan di kedua-dua lengan.
Nama-nama yang dibawa merupakan individu menghidap penyakit buah pinggang yang tidak mampu mendaki Bukit Broga dalam aktiviti pendakian amal Celebrate Life anjuran MAA Medicare.
“Aktiviti ini dianjurkan bagi mengumpul dana untuk menampung kos perubatan pesakit buah pinggang yang kian bertambah saban tahun begitu juga bilangannya di Pusat Dialisis MAA Medicare di Lembah Klang Jalan Ipoh, Sungai Besi dan Kajang.
“Peserta yang membuat pendakian amal hari ini terdiri daripada pesakit, ahli keluarga pesakit, penderma, penyokong dan sukarelawan daripada Universiti of Nottingham serta kakitangan MAA Medicare,” kata Naib Presiden Kanan MAA Medicare, Aliyah Karen.
Aktiviti pendakian tersebut kali pertama diadakan mendapat sokongan penuh daripada para sukarelawan para pesakit.
Bawa kesedaran
Menurut Aliyah, objektif penganjuran aktiviti tersebut lebih kepada meningkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai betapa seriusnya penyakit buah pinggang kronik dan bilangan pesakit buah pinggang semakin meningkat di Malaysia.
“Kami mahu membantu para pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan subsidi sejajar dengan misi kami mengurangkan beban kewangan mereka dengan menyediakan akses dialisis berkualiti, penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan pada kos subsidi.
“Dalam masa yang sama, kami mahu pesakit-pesakit buah pinggang ini merasai pengalaman menikmati suasana berbeza daripada pusat dialisis dengan menghirup udara segar sekali gus memberikan mereka harapan,” ujarnya.

PERCAYA atau tidak,ada dalam kalangan sukarelawan yang mendaki Bukit Broga lebih daripada sekali mengikut jumlah pesakit yang diwakili mereka.


Ada juga dalam kalangan pesakit mendaki Bukit Broga separuh jalan untuk menikmati keindahan alam hijau dan menghirup udara yang nyaman. Walaupun tidak sampai ke puncak, semangat yang dizahirkan mereka harus dipuji.
Warna kain pengikat kepala mewakili pusat dialisis MAA Medicare berlainan. Kuning mewakili pusat dialisis di Kajang, biru untuk Jalan Ipoh dan hijau pula daripada Sungai Besi. Ketiga-tiga pusat dialisis tersebut menampung 182 pesakit.
Sambutan menggalakkan
“Walaupun pendakian amal tersebut kali pertama dianjurkan, sambutannya sangat menggalakkan. Bagi menjayakan aktiviti ini kami mendapat penajaan sebanyak RM9,000.
“Bagi pesakit yang tidak berpeluang mendaki, kami akan berikan gambar-gambar sukarelawan kepada pesakit yang diwakili mereka,” katanya yang bercadang mengajurkan aktiviti pendakian amal tersebut pada tahun hadapan jika sambutan menggalakkan.

BAGI mereka yang sampai ke puncak Bukit Broga, rasa puas itu dirasakan berganda.


Perancangan penganjuran aktiviti pendakian amal Celebrate Life dilakukan selama dua bulan hasil idea kakitangan di MAA Medicare Kajang, Siti Zamidah Muhammad, 25.
“Pada mulanya, saya merancang aktiviti ini untuk MAA Medicare Kajang sahaja, tidak sangka pula ia mendapat perhatian untuk dijadikan acara amal buat semua pusat MAA Medicare di Lembah Klang,” katanya yang mendaki Bukit Broga bersama teman-temannya pada hujung minggu.
Dalam pada itu, Gloria Netto, 21, begitu teruja mendaki Bukit Broga sambil tiga nama diikat pada kepala dan di kedua-dua lengannya.
“Tidak rasa penat langsung mendaki bukit ini kerana semangat tiga individu lain bersama dengan saya iaitu Lau Fook Ying, Baharudin dan Yap Woon Soon.
“Saya akan sentiasa menyokong program-program sukarelawan seumpama ini,” kata penuntut di Kolej Damansara Utama, Petaling Jaya itu.
Seorang pesakit yang ditemui, Baharudin Mohd. Din, 65, yang sudah 12 tahun menghidap sakit buah pinggang dan menjalani dialisis memberitahu walaupun tidak berpeluang mendaki Bukit Broga, dia merasakan seolah-olah dia mendakinya sendiri.
“Program sebegini sangat bagus kerana dapat mendekatkan golongan muda berbakti kepada pesakit yang sebelum ini jarang diberi perhatian.
“Harap program ini diteruskan pada tahun akan datang,” katanya.
Bagi menutup acara amal tersebut, satu sesi cabutan bertuah diadakan sebagai simbol penghargaan buat para sukarelawan di kaki Bukit Broga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: