Lapan warga Indonesia mengaku tak bersalah
Kesemua tertuduh di bawa ke Mahkamah Sesyen semalam.
KOTA TINGGI – Lapan warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata berkumpulan di perairan Tanjung Stapa, Pengerang, awal bulan ini.

Tertuduh, Zainudin, 23; Hasbullah, 35; Ricky, 37; Trim, 36; Jais, 46; Arjadi, 32; Amie, 37 dan Zul, 34 dituduh bersama dua lagi rakan yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata berbahaya ke atas kru kapal tangki MT Merlion Dua, pada jam 1.50 pagi, 11 Disember lalu.

Kesemua lelaki terbabit mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa. Hakim Salawati Djambari menetapkan 29 Januari bagi sebutan kes (pengurusan kes).

Kesemua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun serta sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Juanita Mohd Said manakala lapan lelaki tersebut tidak diwakili peguam.