Dilema setiap pagi
Anjing bebas berkeliaran menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di taman ini.
SABAK BERNAM - Penduduk di Taman Sentosa di sini meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil pendekatan lebih proaktif mengatasi peningkatan anjing liar di taman perumahan itu.

Penduduk dikenali sebagai Ila berkata, anjing liar berkenaan mengganggu rutin harian penduduk khususnya pada setiap pagi.

Menurutnya, keadaan itu lama berlaku, namun kebelakangan ini jumlah mamalia berkenaan semakin bertambah.

“Keadaan ini juga turut menakutkan penduduk Islam di taman berkenaan memandangkan haiwan itu bebas berkeliaran seterusnya mengganggu lalu lintas.

Apa yang lebih menyedihkan anjing berkenaan turut dilihat membuang najis di hadapan rumah penduduk keadaan ini menyukarkan penduduk memandangkan mereka perlu mencuci najis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak bertanggungjawab akan segera mengambil tindakan walaupun sehingga kini belum berlaku kes kemalangan disebabkan haiwan berkenaan.

“Pemilik anjing perlu mengawal haiwan peliharaan mereka malah anjing tidak mempunyai pemilik perlu dihapuskan.

“Ini adalah bagi memastikan kesejahteraan penduduk di taman berkenaan serta menggelakkan dari ancaman kemalangan jalan raya,” katanya.