Thursday, November 29, 2012

Pembinaan bersifat mesra alam



PELUANG meneroka keseluruhan bangunan Wisma Shell yang terletak di Jalan Teknorat, Cyberjaya, Selangor memberi satu pengalaman mengujakan.
Menikmati keindahan reka bentuk dan teknologi yang diguna pakai dalam pembinaan bangunan hijau tersebut membuatkan hati berkata-kata, ‘Alangkah seronoknya jika dapat bekerja dalam suasana sedemikian rupa.’
Suasana menghijau tanaman hasil tumbuhan hiasan di dalam laman bangunan itu membangkitkan rasa damai dan tenang di hati. Malah, deruan air dari kolam berhampiran laman tersebut yang dipenuhi air hujan kitar semula turut menarik perhatian mata yang memandang.
Di samping itu, pengudaraan dan pencahayaan semula jadi yang menjadi teras terhadap rekaan bangunan tersebut dilihat amat berkesan terutama mengurangkan penggunaan tenaga cahaya.
Justeru, tidak hairanlah jika ia berjaya meraih penarafan emas Kepimpinan dalam Rekaan Tenaga dan Alam Sekitar (LEED) mengikut piawaian hijau Amerika Syarikat (AS) pada Februari 2011. Penarafan itu diberikan oleh Majlis Bangunan Hijau AS yang merupakan pengiktirafan berprestij di peringkat antarabangsa.
Anugerah itu sekali gus menjadikan Wisma Shell sebagai bangunan hijau pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh pengiktirafan sedemikian.
Analisis data
Pengarah Architects 61 Sdn. Bhd., Jeffrey Ling berkata daripada rekaan seni bina sehingga memasuki proses pembinaan, semua yang dilakukan bersifat mesra alam.
“Hakikatnya, pembinaan ini adalah satu pencapaian yang menggabungkan bukan sahaja tahap perancangan seni bina dan reka bentuk tetapi juga bantuan teknologi maklumat turut menjadi faktor kejayaan pelaksanaan bangunan hijau ini.
“Kami menggunakan penyelesaian Autodesk BIM, berdasarkan platform perisian Autodesk Revit. Melalui penggunaan set peralatan ini, pasukan kami mampu untuk mengumpul dan menganalisis data berkaitan konsep kemampanan.

BANGUNAN Wisma Shell yang mendapat penarafan emas LEED tersergam indah di Cyberjaya sekali gus menjadi contoh pembangunan hijau di Malaysia.


“Ia membolehkan kami mengekalkan wawasan dalam reka bentuk hijau dan proses visualisasi semasa perancangan yang kemudian diteruskan dengan aspek pembinaan,” ujar Jeffrey ketika ditemui Kosmo! sewaktu lawatan media ke Wisma Shell baru-baru ini.
Tambah beliau, reka bentuk bangunan telah mencapai sasaran pengurangan lebih 50 peratus bagi penggunaan tenaga keseluruhan berbanding dengan penggunaan tenaga purata bangunan pejabat di Malaysia.
Kitar semula
“Sebanyak 34 peratus daripada bahan binaan yang digunakan oleh kos bagi pembangunan kandungan bangunan dikitar semula dan 47 peratus daripada bahan-bahan dengan kos adalah daripada sumber tempatan dan serantau.
“Ia bertujuan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar yang terhasil daripada faktor pengangkutan. Sebagai tambahan, sebanyak 75 peratus sisa binaan telah dialih daripada tapak pelupusan,” jelas beliau.
Turut dikenali sebagai Bangunan Lestari Kumpulan Emkay (BLKE), pembinaan bangunan tersebut menelan belanja RM120 juta dan ia berjaya disiapkan dalam tempoh 12 bulan termasuk mendapat kelulusan Sijil Layak Menduduki (CF).

TEMPAT meletak kenderaan turut disediakan tong sampah kitar semula.


Merangkumi dua bangunan pejabat setinggi lima tingkat berkeluasan 31,038 meter persegi, ia dibina di atas tanah seluas hampir dua hektar yang terletak berhampiran dengan bangunan HSBC, IBM, Ericsson dan Emirio di Cyberjaya.
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah tiga aras tempat letak kereta bawah tanah yang menggunakan pengudaraan semula jadi dan mempunyai tiga stesen pengecaj semula untuk kereta elektrik serta dan landskap taman di bahagian bumbung.
Kolam bawah tanah
Selain itu, terdapat juga gimnasium untuk pekerja beriadah, kafeteria, pusat jagaan kanak-kanak, pejabat pengurusan dan kedai jualan untuk kemudahan kakitangan.
Menurut Jeffrey, sistem penilaian LEED berasaskan enam kategori seperti tapak yang mampan, penggunaan air secara cekap, guna tenaga dan persekitaran, penggunaan bahan dan sumber, kualiti persekitaran dalaman dan reka bentuk inovatif.
“Wisma Shell mempunyai kolam bawah tanah dan tangki penakungan air hujan selain bumbungnya dicat dengan cat pemantul bagi mengurangkan haba. Malah, bangunan itu turut dilengkapi sensor cahaya dan pergerakan bagi mengurangkan cahaya tercemar.
“Kami juga mengaplikasi sistem pendingin hawa dari bawah lantai yang memberi kesan penyejukan lebih cekap dan berterusan. Bagi mengurangkan haba, kami menggunakan cermin dwi-lapis low E-glazing manakala penggunaan lampu T5 electronic ballast mampu menjimatkan tenaga,” terang Jeffrey.
Apa yang pasti, bangunan ini juga mempunyai sensor untuk karbon dioksida dan sensor untuk pengudaraan luar. Melalui pemasangan lapik perangkap kotoran di setiap bilik pula, ia berupaya untuk mengawal pencemaran yang masuk ke dalam dewan.

JIKA penat dan letih-letih badan, kerusi urut elektrik boleh digunakan pada bila-bila masa.


Sementara itu, Pengurus Negara Autodesk Asia Pte. Ltd, C.S Tan berkata, penggunaan proses penyelesaian Building Information Modelling (BIM), berdasarkan pada model yang dicipta dengan Autodesk Revit Architecture dan Autodesk Revit Structure memudahkan proses rekaan dan pembinaan.
“BIM bukan hanya mengenai menggambarkan idea, tetapi membantu menukar konsep yang baik kepada yang lebih baik dan rekaan yang boleh dibina.
“Selain itu, setiap perubahan reka bentuk walaupun sedikit mempunyai implikasi yang pelbagai. Jadi, para arkitek perlu pantas memeriksa dan menilai senario reka bentuk berganda. Melalui penggunaan Autodesk Revit, ia membolehkan mereka membuat perubahan dengan lancar dan berkesan sekali gus menjimatkan lebih banyak masa dan kos,” kata Tan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: