Iqram Dinzly
Iqram Dinzly
SEMENJAK mengambil alih tanggungjawab sebagai pengacara program Jalan Jalan Cari Makan (JJCM), nama Iqram Dinzly mula menjadi perhatian dan hangat diperkatakan.

Bagaimanapun bukan kerana gaya pengacaraan yang kaku atau membosankan, tetapi kerana persembahan mantapnya yang menarik perhatian penonton pada setiap episod program berkenaan.

Sudah selesai menjalani penggambaran bagi musim ini, Iqram bagaimanapun mengakui, belum memikirkan untuk meneruskan khidmatnya pada musim akan datang.

“Saya sudah pun selesai menjalani penggambaran 20 episod untuk program ini. Namun, apakah saya akan terus mengacara program ini pada musim akan datang atau tidak, masih dipertimbangkan.

“Bukan kerana tidak enjoy mengacara program ini, tapi penambahan berat badan membuatkan saya agak bimbang untuk meneruskannya.

“Jika rezeki dan jodoh saya bersama JJCM, insya-ALLAH saya akan teruskan. Jika tidak, saya anggap ini satu pengorbanan buat saya,” ujarnya kepada Zass.

Tak mahu dibandingkan

Iqram berkata, dia bagaimana pun bersyukur kerana menerusi JJCM, dia kini telah dicalonkan dalam kategori awal, Anugerah Bintang Popular 2012 bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular.

Akui bersyukur dengan respons yang diberikan penonton dan peminat terhadapnya, Iqram bagaimanapun meminta tidak dibandingkan dengan pengacara sebelum ini.

“Bagi saya, pengacara sebelum ini adalah senior saya dalam JJCM, tidak kira mereka lebih muda atau lebih tua dari saya, dan saya amat menghormati mereka. “Tugas mengacara program makanan bukan perkara yang mudah kerana kita perlu menarik perhatian penonton untuk mencuba makanan yang dihidangkan.

“Alhamdulillah, setakat ini, saya menerima maklum balas yang cukup baik dan saya tidak sangka mendapat sokongan sebegitu,” katanya.

Maria sebagai sifu

Tambah Iqram, dia juga ada bertemu sendiri dengan Maria Tunku Sabri untuk mendapatkan nasihat dan tip bagi menjayakan program itu, sebelum ini.

“Maria banyak memberi panduan dan paling penting dia mahu saya menjadi diri sendiri dan bukannya meniru gayanya atau orang lain.

“Bagi saya, sambutan penonton terhadap program ini sekarang, adalah berkat restu daripada semua pihak,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan seninya, Iqram berkata, setelah lebih tiga bulan tidak terlibat dengan sebarang lakonan, dia kini bakal terlibat dengan penggambaran drama Janji Sirah untuk slot Samarinda di TV3.

“Saya akui rindu untuk berlakon. Namun buat masa ini, saya hanya terlibat dengan satu drama bersiri saja. Selain daripada itu, saya juga sibuk memenuhi beberapa program sebagai pengacara dan beberapa program amal lain seperti untuk tabung bantuan penduduk Gaza,” jelasnya.