Marsha Milan Londoh
Marsha Milan Londoh
Bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) 3 ini bukanlah nama kecil dalam industri seni tempatan.
Bahkan penglibatannya sepanjang lapan tahun bergelar anak seni sering kali menjadi perhatian umum.
Terlibat dengan pelbagai kontroversi bagaikan sudah menjadi asam garam bagi wanita kelahiran Michigan, Amerika Syarikat.
Bukan sahaja terbabit dengan isu menelan 30 biji pil, malah dia juga terpaksa berhadapan pelbagai tohmahan apabila dikatakan gemar berpakaian tidak cukup kain.
Tidak cukup dengan itu, dirinya pernah dikaitkan menjalin cinta dengan beberapa selebriti seperti Hans Isaac, Andy Estranged dan Yusry KRU.
Dalam pada itu, kisah cintanya dengan beberapa lelaki tempatan juga turut menjadi tumpuan media di negara ini.
Ditemui di pelancaran filem Kahwin 5 baru-baru ini, Marsha Milan Londoh berkata, sebagai selebriti dia perlu tabah dan tidak mudah melatah dengan apa juga perkara yang dibangkitkan kepadanya.
Baginya, dia tidak perlu mengelak apa jua dugaan yang mendatang.
"Saya akui ada sahaja perkara yang dilakukan menjadi buah mulut dan perhatian umum. Pun begitu ini semua adalah lumrah bagi semua artis itu.
"Yang penting, kita perlu bijak bertindak dan menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dalam hidup," katanya yang selesa bergelar 'single' kini.
...............
SH: Selesa 'single'
Menyentuh mengenai kisah cintanya, pelantun lagu Jujur Bilang Cinta ini menjelaskan, buat masa sekarang dia lebih senang menjalani kehidupan sendiri.
"Sering kali gagal bercinta sebenarnya membuatkan saya menjadi lebih matang memikirkan perkara ini. Apa yang berlaku antara saya dan 'cinta hati' saya sebelum ini tidak pernah dirancang.
"Perkenalan dan perpisahan kami mungkin sudah tertulis, apa pun saya anggap semua ini sebagai tiada jodoh antara kami," katanya memberitahu antara mereka mempunyai jurang berbeza.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, akui penyanyi berusia 27 tahun ini, tiada persamaan membuatkan hubungan mereka kecundang di tengah jalan.
"Mula-mula berkenalan memang ok, lama-kelamaan saya rasakan kami tidak boleh 'ngam' bersama. Lagi pun dia tidak mungkin boleh menerima dunia saya sebagai artis seadanya," jelas Marsha hanya akan bercinta lagi jika bertemu Mr Perfect yang berjaya mengetuk pintu hatinya.
Bosan jadi gedik
Pernah dilabel 'gedik' jelas Marsha dia berharap selepas ini akan diberikan lebih banyak watak yang mencabar.
"Rata-rata peranan yang diterima sebagai perempuan yang manja, gedik dan menggoda. Sebagai pelakon saya juga mahukan satu watak yang lebih mencabar.
"Adakala apabila dikenali dengan satu watak itu, membuatkan orang terfikir kredibiliti kita sebagai pelakon. Adakah saya tidak mampu menggalas watak lain, ia sekali gus menjadikan saya bosan melakonkan watak yang sama," kata pelakon yang memegang watak sebagai Mimi, isteri keempat Dr K dalam filem Kahwin 5 ini.
"Masih dibayangi watak yang sama, saya juga menjadi isteri yang manja dan gedik. Apa pun, ia masih menjadi cabaran besar bagi saya apabila perlu menggunakan dialek Sabah dalam filem ini," katanya tetap memberikan perhatian kepada bidang lakonan.

Berkongsi perkembangan barunya dalam bidang nyanyian, pengacara program Propaganza di Astro Ria ini memberitahu dia bakal muncul dengan album baru tidak lama lagi.

"Jika tiada aral melintang, awal tahun hadapan saya akan melancarkan album kedua saya.
"Menerusi album ini sebanyak lima lagu dimuatkan antaranya Tentang Cinta, Jujur Bilang Cinta dan Kepastian Cinta," ujarnya dan memberitahu album itu sudah siap 80 peratus.


Profil
Nama: Marsha Lya Milan Londoh
Nama Komersial: Marsha
Umur: 27 tahun
Keluarga: Anak ketiga daripada empat beradik
Tarikh Lahir: 6 Disember 1985
Tempat Lahir: Michigan, Amerika Syarikat
Filem: Cun, 4 Madu, Magika, Senario Episode 2: Beach Boys, Saus Kacang, Misi 1511 dan Kahwin 5
Drama: Mimi Mencari Cinta, Kum Kum, Awan Dania 3, Seribu Kali Cinta, Saloon, Dottie, K.I.T.A, Hotel Manja, Mega Sekeping Hati, Korban 44 dan Kerana Karina.