Monday, November 26, 2012

Gerai Dynas Tarik Perhatian Himpunan Wanita 2012


Dynas bersama dua anaknya Mohamed Haqaish, lima bulan (tengah) dan Khyra Khalyssa, 2. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kesibukan aktiviti lakonan dan tanggungjawab sebagai ibu tidak menghalang pelakon Dynas Mokhtar untuk turut berniaga sempena Himpunan Wanita Muda Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinaz Wan Mokhtar berkata, gerai yang menjual busana wanita mengandung, aksesori dan produk kecantikan wanita di Dewan Tun Razak 1 itu dikerumuni orang ramai termasuk peminat yang mahu bergambar bersama.
Katanya, dia tergerak hati untuk berniaga sempena himpunan itu kerana ingin mengembangkan perniagaan yang baru sahaja dimulakan setahun lepas, selain mendapat sokongan suami dan keluarga.
"Kebanyakan pengunjung Himpunan Wanita pada hari ini adalah wanita, jadi saya mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan produk saya kepada umum.
"Kebetulan saya diberi peluang oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin untuk mereka bentuk busana mengandung beliau, maka Datuk sendiri mencadangkan saya supaya berniaga di sini," katanya.
Dynas berkata busana rekaannya bukan hanya terhad kepada wanita mengandung.
"Selain jubah ibu mengandung, sesetengah daripada pakaian rekaan saya unik di mana ia memberi kemudahan kepada ibu yang selepas bersalin menyusukan bayi mereka tanpa terpaksa mendedahkan aurat," katanya.
Pelakon itu juga berkata jika sambutan pada kali ini memberangsangkan, dia berminat untuk terus berniaga pada perhimpunan akan datang.
Bersempena himpunan itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk pertunjukan fesyen, demonstrasi solekan dan penjagaan kesihatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: