Thursday, November 29, 2012

Artis prihatin Gaza

HAFIZ terbabit dalam konsert mini Untukmu Palestin yang bakal berlangsung pada malam ini pukul 11.00 malam di TV3.


WALAUPUN jauh beribu batu, namun suara rintihan dan kesengsaraan hidup rakyat Palestin yang terus ditindas oleh rejim Zionis tidak pernah dipandang ringan oleh rakyat Malaysia.
Susulan daripada pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad pada Sabtu lalu, TV3 dengan kerjasama Primeworks Studios bakal menerbitkan konsert mini amal Untukmu Palestin pada hari ini yang akan disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam bermula pukul 11 malam.
Untukmu Palestin yang akan bersiaran selama satu jam menampilkan barisan artis hebat seperti Faizal Tahir selaku teraju utama dan turut ditemani oleh Aizat, Kumpulan Raihan, Hafiz Hamidun, Noh Salleh (Hujan), Tomok dan Misha Omar.

FAIZAL melelong tiga trofi yang dimilikinya dalam usaha untuk mendapatkan dana bagi disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin untuk membantu penduduk Palestin.


Bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Tabung Kemanusiaan Palestin dan inisiatif murni untuk membantu ribuan mangsa serangan tentera Israel, konsert mini ini merupakan platform terbaik untuk menyeru dan mengajak orang ramai termasuklah badan-badan korporat untuk beramal melalui sumbangan terus kepada tabung khas ini.
Lebih istimewa, Faizal Tahir yang pernah dilantik sebagai duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin oleh TV3 pada tahun 2010 akan mendermakan tiga trofi yang dimenanginya sepanjang enam tahun dalam arena seni. Kesemua trofi tersebut akan dilelong khas kepada badan korporat yang berminat untuk membuat bidaan.
Sementara itu, antara lagu yang bakal dipersembahkan pada malam mini konsert amal tersebut ialah Zikir Terapi - Astaghfirullahal'azim, Untukmu Palestin, Kembara Di Tanah Gersang, Kau Yang Satu, Kembara, Erti Hari Ini, Anti Graviti dan Insyallah.
Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad merupakan hasil kerjasama dengan Mercy Malaysia. Atas dasar keprihatinan dan rasa simpati para pengunjung, sebanyak RM12,530.85 telah berjaya dikumpul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: