Wednesday, September 26, 2012

USM, UniMap cipta kerusi rawat pesakit

DR. ZURAIDA Zainun, Prof. Omar Osman (dua dari kiri) berdiri di sebelah kerusi berputar BAL EX Zuraida-Shah bersama Prof. Kamarudin Hussin (dua dari kanan) dan Dr. Shahriman Abu Bakar di Pulau Pinang, semalam.
PULAU PINANG 24 Sept. - Kerjasama dua penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMap) berjaya menghasilkan kerusi berputar automatik untuk pesakit bermasalah keseimbangan badan yang lebih murah dan berkeupayaan tinggi.
Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman berkata, kerusi yang dinamakan BAL EX Zuraida-Shah itu dihasilkan dalam tempoh 10 bulan merupakan alatan untuk mengesan fungsi organ keseimbangan badan dan rawatan bagi pesakit terlibat serta kerap berasa pening kepala.
"Mesin ini masih kurang digunakan untuk mengubati pesakit kerana faktor harga yang mahal iaitu boleh mencecah RM500,000 hingga RM1 juta seunit.
"Bagaimanapun melalui kerjasama kedua-dua buah universiti, kerusi itu berjaya dihasilkan dengan harga yang jauh murah iaitu RM11,000 seunit dan boleh digunakan untuk mengubat pesakit.
"Lebih menarik, peralatan untuk menghasilkannya menggunakan barangan kitar semula seperti kerusi kereta Myvi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama penyelidikan di antara USM dan UniMap di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
Idea asal untuk mencipta kerusi itu datang daripada Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Dr. Zuraida Zainun yang kemudiannya membentuk jalinan kerjasama dengan Dr. Shahriman Abu Bakar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, UniMap.
Zuraida berkata, ketika ini hanya terdapat dua kerusi jenis itu yang digunakan untuk mengubat pesakit iaitu satu di Hospital Sungai Buloh manakala satu lagi di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota.
"Oleh itu, kebanyakan pesakit mendapat rawatan melalui kaedah lain iaitu diberikan ubat-ubatan sedangkan kaedah perubatan menggunakan kerusi ini lebih bersifat semula jadi,'' ujarnya.
Sementara itu, Shahriman berkata, beliau kini sedang berusaha untuk meningkatkan lagi kemampuan penggunaan kerusi berkenaan kerana ketika ini alatan tersebut hanya mampu menampung pesakit yang mempunyai berat badan di bawah 60 kilogram.
"Selain itu, kita berharap produk tersebut dapat dikomersialkan supaya pesakit di luar bandar berpeluang menggunakannya untuk mendapatkan rawatan.
"Mesin sedia ada hanya boleh berpusing sekitar 40 pusingan tetapi keupayaan mesin yang kita hasilkan ini mampu membuat 60 pusingan ketika merawat pesakit," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: