Sunday, September 30, 2012

Mampu dapat RM800 sehari

SEDIA...Hasnah (kiri) dan pekerjanya membuat persiapan seawal 6.30 pagi.
SEDIA...Hasnah (kiri) dan pekerjanya membuat persiapan seawal 6.30 pagi.
SIBUK...Hasnah mampu menyediakan 13 jenis kuih untuk jualan.
SIBUK...Hasnah mampu menyediakan 13 jenis kuih untuk jualan.
SEBUT saja kuih-muih tradisional, pasti terbayang aneka jenis makanan yang sedap dan pelbagai warna. Walaupun bentuknya kecil, belum tentu semua orang boleh menyediakannya dengan sempurna kerana ia memerlukan kepakaran tersendiri bagi memastikan hasilnya memuaskan.
Kesibukan bekerja pula bukan halangan untuk masyarakat bandar mendapatkan kuih-muih itu kerana ia dijual di merata tempat.
Di Kuala Lumpur misalnya, rata-rata ia dijual dengan harga 40 sen sebiji, membuatkan penulis terfikir sejauh mana perniagaan ini mampu memberi keuntungan kepada penjual.

Hasnah Kayang, 47, misalnya membabitkan diri sebagai pembuat dan peniaga kuih-muih tradisional di Selayang sejak 15 tahun lalu.

Sehingga kini, walaupun persaingan semakin banyak, ibu kepada lima anak ini masih gigih mengerah kudratnya untuk menjual kuih tradisional.

Terbeliak mata penulis apabila mendapat tahu Hasnah mampu memperoleh pendapatan kasar sehingga RM800 sehari walaupun hanya membuka dua gerai kecil di dua tempat berlainan.

“Itupun bergantung kepada keadaan. Adat berniaga, kita tidak boleh mengharapkan keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu menerima hakikat rezeki yang biasanya dipengaruhi persekitaran, terutama cuaca.

“Alhamdulillah, dengan pendapatan hasil jualan kuih, saya mampu meringankan beban suami yang bekerja sebagai penjawat awam untuk menyara kehidupan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Difahamkan, dengan rezeki jualan kuih tradisional itu juga, Hasnah dan suami berjaya membeli sebuah rumah teres yang selesa untuk mereka sekeluarga.

Menyingkap kembali pembabitannya dalam perniagaan kuih tradisional secara kecil-kecilan, niat Hasnah hanya ingin membantu suaminya menjana pendapatan keluarga.

“Ketika itu, suami hanya menerima gaji sekitar RM600 sebulan dan menetap di kawasan setinggan. Selepas melahirkan anak pertama, saya hanya tinggal di rumah manakala tanggungjawab mencari rezeki terletak di bahu suami sepenuhnya.

“Mula berasa bosan kerana banyak masa terluang, saya mula berniaga dengan menjual air tebu di kawasan rumah bermodalkan RM200 tetapi ia kurang berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat wanita ini untuk terus mencari pendapatan tambahan keluarga.

“Kebetulan ibu saudara datang dari kampung dan tinggal di sini. Daripada beliau, saya belajar cara membuat kuih tradisional cakui dan ia mula mendapat sambutan.

“Selepas pelanggan semakin bertambah, perlahan-lahan saya mempelajari lebih banyak resipi kuih tradisional daripada ibu saudara untuk mempelbagaikan produk jualan.

“Sehingga kini saya menjual 13 jenis kuih tradisional, termasuk rengas (kuih kacang), keria, ondeh-ondeh, ubi ketuk dan kasturi,” katanya.

Saban hari, Hasnah membuat persiapan seawal 6.30 pagi memandangkan sebahagian daripada kuih berkenaan perlu direbus dan ia mengambil masa lama untuk masak.

Hasnah yang memulakan kerja memotong, membentuk serta menggoreng kuih sekitar jam 9.30 pagi turut dibantu tiga pekerjanya bagi membolehkan gerai dibuka jam 1.30 tengah hari.

“Semua bahan mentah saya beli di pasar borong berhampiran dengan harga murah. Saya mementingkan rasa kuih yang sedap selain harga berpatutan kerana ia kunci utama untuk menarik pelanggan.

“Saya juga mengamalkan sikap tidak berkira dengan pelanggan dalam penyediaan kuih seperti inti dan sebagainya. Selain itu, jika pelanggan membeli dalam kuantiti banyak, saya lebihkan sedikit kuih sebagai tanda terima kasih.

“Pada masa sama, kita perlu jujur dalam penyediaan makanan serta menjaga tahap kebersihan bagi memastikan kuih dijual selamat dimakan.

“Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, saya tidak pernah memerlukan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, sekali gus menunjukkan produk kuih tradisional mampu mendatangkan pendapatan memuaskan jika kena caranya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: